BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kaedah Perkasa Insiatif Untuk Manfaat Komuniti India Akan Dibincangkan - Ramanan

29/10/2024 10:24 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperbanyak lagi program berkaitan komuniti India, akan diangkat untuk perbincangan supaya tindakan seterusnya dapat dilaksanakan segera.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan yang dipertanggungjawabkan Perdana Menteri menyelia tugasan berkenaan, memberi komitmen melakukan yang terbaik untuk menjamin harapan komuniti India di negara ini.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang menaruh sepenuh kepercayaan kepada beliau, untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

“Saya akan memaklumkan perkembangan terkini ini (arahan Perdana Menteri) kepada Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedict dan akan melakukan perbincangan dengan beliau mengenai langkah seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Anwar dalam hantaran di laman Facebook berkata Ramanan dipertanggungjawabkan untuk menyelia, bagi memastikan antara lain peruntukan dalam Belanjawan 2025 untuk komuniti itu mencapai matlamat.

Perdana Menteri berkata perkara itu diputuskan dalam pertemuan beliau bersama pengurusan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan beberapa Ahli Parlimen yang mewakili masyarakat India, bagi membincangkan pandangan idea untuk terus memperkasa komuniti India, hari ini.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata selain MITRA, program lain melibatkan masyarakat India ialah Skim Pembiayaan Pemerkasaan (SPUMI) Goes Big melalui TEKUN Nasional dan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i).

Selain itu, Prosperity, Empowerment and A New Normal (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia dan Business Accelerator Programmefor Indian Small Business(I-BAP) melalui SME Corp dengan kesemua inisiatif ini, kata Ramanan, telah membawa banyak manfaat yang bermakna kepada usahawan India.

Terdahulu Ramanan ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pelan Hala Tuju 2.0 SME Bank di sini menjelaskan, beliau yang turut hadir dalam pertemuan bersama Perdana Menteri pagi tadi, dipertanggungjawabkan melapor dan menjawab segala inisiatif dan isu membabitkan masyarakat India.

“Perdana Menteri mengarahkan saya menjawab soalan berkaitan dengan MITRA dan juga soalan-soalan lain berkaitan,” katanya menambah bahawa ketetapan itu dibuat bagi mengelak berlaku kenyataan yang mengelirukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan