BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pengarah Negeri Dapatkan Kebenaran KP Pusat Bagi Elak Maklumat Bercanggah

30/10/2024 04:33 PM

KUALA NERUS, 30 Okt (Bernama) -- Prosedur yang diguna pakai sesetengah jabatan kerajaan agar pengarah di peringkat negeri mendapatkan kebenaran daripada ketua pengarah (KP) di peringkat pusat sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan adalah bagi mengelakkan percanggahan maklumat. 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata dengan kemudahan teknologi komunikasi ketika ini, ia tidak seharusnya menjadi masalah untuk kebenaran itu diberikan dengan cepat terutamanya apabila sesuatu kenyataan itu diperlukan segera oleh pihak media khususnya. 

"Isu ini (kebenaran KP) dia tertakluk kepada ketua pengarah Persekutuan. Ada sesetengah jabatan biasanya ingin pengarah negeri untuk rujuk dahulu ketua jabatan sebelum keluar kenyataan dan bila dah dapat kelulusan, maka ia boleh dikeluarkan. 

"Dan untuk isu yang perlukan respon segera...sekarang ini kan zaman dunia di hujung jari. Dengan satu WhatsApp sahaja, ketua pengarah boleh beri kebenaran. Tak perlu buat surat, cuma dapatkan kelulusan agar kenyataan antara pusat dan negeri itu tidak bercanggah," katanya. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi dihadapi sesetengah pengamal media yang sukar untuk mendapatkan kenyataan daripada pengarah sesuatu jabatan terutamanya di peringkat negeri. 

Wan Ahmad Dahlan ditemui media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Bersama Pegawai Awam Persekutuan Negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau juga berkata tiada isu kekurangan penjawat awam ketika ini apabila ditanya mengenai kekosongan jawatan pengarah di sesuatu jabatan misalnya di Terengganu dan beberapa negeri lain. 

Wan Ahmad Dahlan berkata ia sebaliknya berkemungkinan disebabkan oleh kaedah pengisian jawatan itu yang mengambil sedikit masa dalam memastikan pengarah atau penolong pengarah yang dihantar ke sesuatu negeri itu sesuai mengikut pengalaman yang diperlukan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan optimis dalam mendapatkan persetujuan penjawat awam untuk memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kerana sistem berkenaan adalah sistem saraan terbaik yang pernah wujud di Malaysia.

"Insya-Allah saya pasti dan yakin penjawat awam akan tandatangan, cuma setakat ini belum ada angka berapa peratus yang sah tandatangan sebab baru saja bermula. Seluruh kementerian, jabatan dan agensi sedang berbuat demikian," katanya. 

Penjawat awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Okt lepas sehingga 30 Nov ini untuk memilih SSPA bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan