JOHOR BAHRU, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor telah mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat terkemuka Korea Selatan yang berpotensi membawa pelaburan strategik bernilai kira-kira US$190 juta (US$1=RM4.3755) ke negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau yang mengetuai lawatan kerja ke Seoul bermula 28-31 Okt berkata delegasi kerajaan negeri berkesempatan bertemu dengan beberapa syarikat terkemuka Korea Selatan antaranya Hanwha Solutions Corporation yang tersenarai di Fortune Global 500 dan terkenal dengan inovasi dalam sektor tenaga bersih serta bahan kimia.
Selain itu, mereka juga mengadakan pertemuan dengan SPC Group, syarikat makanan global yang menerajui pasaran dengan jenama terkenal seperti Paris Baguette dan CJ CheilJedang Group, pengeluar makanan halal Korea di Malaysia.
“Syukur Alhamdulillah. Dalam lawatan kerja ke Seoul, saya dan delegasi kerajaan negeri berkesempatan mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat terkemuka Korea Selatan, yang berpotensi membawa pelaburan strategik ke negeri Johor.
“Insya-Allah, nilai potensi pelaburan yang mampu dicapai hasil pertemuan bersama syarikat terkemuka ini adalah sekitar US$190 juta,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Onn Hafiz berkata selain peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, limpahan ekonomi dan pembangunan yang bakal dijana hasil pelaburan tersebut sudah pasti akan membawa lebih kemakmuran kepada rakyat di negeri itu.
“Saya pasti kesemua syarikat ini yakin dengan potensi Johor sebagai destinasi pelaburan yang strategik. Dengan kedudukan yang kukuh serta sokongan berterusan, Johor bukan sahaja menawarkan peluang perniagaan yang luas, tetapi juga ekosistem kondusif untuk pertumbuhan jangka panjang.
“Semoga segala perancangan dan kerjasama ini dapat direalisasikan dengan jayanya, sekali gus menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan pilihan dan pusat strategik di rantau Asia,” katanya.
Menerusi hantaran berasingan Onn Hafiz berkata delegasi kerajaan negeri turut berpeluang menghadiri seminar yang membincangkan peluang pelaburan yang boleh diteroka di Johor terutama dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Katanya seminar bertajuk ‘Unlocking Regional Growth: Business Opportunities in Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ)’ itu telah menarik penyertaan 83 syarikat terkemuka negara tersebut daripada pelbagai industri, sekali gus menjadikannya platform kukuh untuk mempromosikan Johor sebagai pilihan utama pelabur yang mencari destinasi strategik dan mapan.
“Menerusi seminar ini, saya telah berkongsi pelbagai inisiatif strategik yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan mengenai pembangunan JS-SEZ untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi.
“Pelbagai persiapan sedang dirangka dengan teliti mencerminkan keseriusan Johor dalam menjayakan agenda penting ini seperti penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) sebagai ‘pusat pemudahan sehenti’ serta pembangunan Johor Talent Development Council (JTDC) bagi menjayakan agenda JS-SEZ,” kata Menteri Besar.
Beliau berkata dengan kedudukan strategik serta kewujudan pelbagai insentif menarik yang ditawarkan JS-SEZ, Johor adalah lokasi tepat bagi para pelabur untuk mengembangkan perniagaan mereka di rantau ASEAN.
Selain itu zon ekonomi tersebut juga boleh menyediakan peluang pertumbuhan yang luas serta akses langsung kepada pasaran global, menjadikannya pilihan ideal untuk pelaburan jangka panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial