BELANJAWAN 2025 > BERITA

Rusia, Malaysia Jalin Kerjasama Dalam Program Pendidikan Inovasi

31/10/2024 04:03 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Platform Pembangunan Inovasi Korporat Generasi Rusia  (GenerationS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjalin kerjasama dalam program pendidikan untuk berkongsi kepakaran dalam mengukuhkan ekosistem inovasi, dengan tumpuan untuk memajukan pemindahan teknologi dan memupuk keusahawanan.

Dalam kenyataan kepada Bernama pada Khamis, GenerationS, pemecut perniagaan Rusia yang menyokong syarikat pemula dan membangunkan keusahawanan dalaman dan inovasi dalam syarikat sejak 2013, berkata program pendidikan "Pengurusan Infrastruktur Inovasi yang Berkesan: Pengalaman Berjaya Malaysia" diadakan di Kuala Lumpur pada 28 hingga 30 Okt.

"Program pendidikan ini tertumpu kepada pelaksanaan objektif negara dalam bidang mengukuhkan hubungan perniagaan antara peserta dalam ekosistem teknologi kedua-dua negara, menyelesaikan tugas-tugas strategik program persekutuan.

"Program ini juga berfungsi sebagai platform untuk keusahawanan teknologi universiti, universiti kejuruteraan lanjutan, serta memahami cara berkesan untuk mengkomersialkan syarikat permulaan pelajar dan pembangunan universiti," menurut kenyataan itu.

Program ini disokong oleh Kementerian Sains dan Pengajian Tinggi Rusia, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan organisasi terkemuka termasuk Malaysian Research Accelerator for Technology And Innovation (MRANTI), Cradle Fund Malaysia dan syarikat minyak dan gas terbesar Malaysia, Petronas.

Pengarah Urusan Platform Pembangunan Inovasi Korporat GenerationS, Ekaterina Petrova berkata pembangunan perkongsian dialog Rusia-ASEAN adalah satu daripada keutamaan untuk pembangunan dasar ekonomi luar Rusia.

"Pengalaman Malaysia dihargai dalam ekosistem inovasi global - Malaysia memegang kedudukan tinggi dalam ranking Indeks Inovasi Global dalam kalangan ekonomi inovatif di dunia dan terus meningkatkan potensinya ke arah ini.

"GenerationS secara aktif menerima permintaan daripada kedua-dua pihak untuk mempelajari infrastruktur masing-masing dan mengenali universiti tempatan, yayasan, syarikat korporat: UTM, MRANTI, Cradle Fund dan lain-lain," katanya.

Menurut Petrova, program antarabangsa bagi pertukaran pengalaman dalam pengurusan ekosistem inovasi, pembangunan pemindahan teknologi dan keusahawanan disokong di peringkat negara, Rusia dan Malaysia.

Tambah kenyataan itu, awal bulan ini semasa Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama mengenai Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan Rusia-Malaysia di St Petersburg, Rusia, wakil kedua-dua negara menggariskan hala tuju kerjasama dalam bidang perdagangan dan ekonomi, industri, tenaga, pengangkutan, budaya dan pelancongan.

Topik perbincangan lain termasuk pembangunan bersama dalam bidang sains dan pendidikan, kerjasama dalam bidang inovasi.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan