BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPWKM Teruskan Program Advokasi Perangi Gangguan Seksual Terhadap Kanak-kanak

02/11/2024 05:36 PM

KUCHING, 2 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus menggerakkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-kanak di seluruh negara sebagai antara usaha memerangi kesalahan seksual dalam kalangan golongan bawah umur.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata KPWKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan program itu di 327 sekolah tahun ini. 

“Kita sasarkan 300 sekolah dan kita capai 109 peratus dan kita tidak akan berhenti melaksanakan program ini sebab kita ada lebih 10,000 sekolah di Malaysia. 

“Selagi ada kes gangguan seksual kanak-kanak dilaporkan, kami tidak akan berhenti … dengan keadaan sekarang, khususnya kemajuan teknologi jadi macam-macam cara untuk isu gangguan seksual ini terjadi,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serahan Tajaan Rakan Strategik YKN bagi Anjung Kasih dan Bilik Kasih Wanita di Hospital Umum Sarawak di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2024 yang memaklumkan jumlah kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia meningkat 26.5 peratus kepada 1,567 kes pada 2023 berbanding 1,239 pada tahun sebelumnya.

Nancy turut menyeru kanak-kanak serta ahli keluarga mangsa untuk terus melaporkan kepada pihak berkuasa atau Organisasi Berasaskan Komuniti di daerah masing-masing sekiranya berlaku kesalahan seksual meskipun pelaku terdiri darah daging sendiri.

Berdasarkan statistik berkenaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kesalahan amang seksual secara fizikal pada 2023 merekodkan peningkatan ketara sebanyak 21.1 peratus iaitu 1,389 kes berbanding 1,147 kes pada 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan