BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bersatu Bahagian Tenggara Terbubar, Ketua Dan 15 AJK Umum Keluar Parti

02/11/2024 11:49 PM

KOTA TINGGI, 2 Nov (Bernama) -- Bersatu Bahagian Tenggara didakwa terbubar serta-merta hari ini susulan keputusan ketua dan 30 ahlinya termasuk 15 ahli jawatankuasa bahagian itu yang mengumumkan keluar daripada parti berkenaan.

Ketua Bersatu Bahagian Tenggara Hassan Rasid berkata keputusan itu dibuat sebulat suara selepas mempertimbangkan beberapa faktor termasuk hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi yang dilihat gagal menguruskan parti selain tidak telus dalam melaksanakan tanggungjawab.

Beliau mendakwa tindakan pimpinan tertinggi menghantar notis rasmi pembatalan pemilihan bagi cawangan Kota Jaya Selatan, Bandar Tenggara Selatan dan Sungai Telor sehari sebelum ia berlangsung adalah sesuatu yang tidak cermat.

“Selain itu, Sayap Srikandi di Cawangan Bandar Tenggara Selatan, Pengeli Timur, Pelepah Valley yang layak bersidang juga tidak tersenarai dalam perwakilan pemilihan Jawatankuasa Srikandi Bahagian Tenggara malah jawatankuasa itu juga telah digantung daripada bersidang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hassan berkata beliau dan wakil beberapa cawangan yang terlibat turut membuat lima laporan polis susulan isu pengurusan parti itu.

Beliau mendakwa kira-kira 500 ahli cawangan terbabit dijangka turut mengikuti keputusan keluar dari Bersatu.

Bersatu Bahagian Tenggara mempunyai 19 cawangan dengan jumlah ahli keseluruhan ialah 1,263 orang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan