BELANJAWAN 2025 > BERITA

Fasa Satu Projek SSLR Capai 38 Peratus Pelaksanaan Setakat September - Ahmad

04/11/2024 01:56 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Status kemajuan fasa satu Projek Sarawak–Sabah Link Road (SSLR) melibatkan jajaran Lawas ke Persimpangan Long Lopeng di Sarawak telah mencapai 38 peratus pelaksanaan setakat September 2024, demikian Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata jajaran projek bermula di Kampung Gelugus, Lawas hingga Persimpangan Long Lopeng dengan anggaran panjang 77 kilometer (km) itu dijangka siap pada November 2026.

Beliau berkata Surat Setuju Terima (SST) bagi fasa kedua projek SSLR pula telah dikeluarkan pada Mac lepas.

“Projek ini melibatkan empat pakej dan jajaran sepanjang anggaran 322 km dengan status terkini bagi projek ini sedang dalam peringkat pengambilan balik tanah oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Negeri Sarawak dan pembersihan tapak oleh kontraktor di beberapa kawasan yang telah selesai urusan.

“Tempoh pelaksanaan Projek SSLR Fasa 2 dijangka selama lima tahun,” katanya menjawab pertanyaan dikemukakan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) mengenai status dan jadual pelaksanaan SSLR pada sesi soal jawab hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung pemberian tender secara prakelayakan terpilih bagi Fasa 1B Projek Lebuhraya Pan Borneo (Sabah) kepada syarikat bukan bumiputera Sabah, Ahmad berkata majoriti syarikat yang sudah memperoleh SST adalah dari Sabah.

“Bagi Pakej 1A dan 1B (Pan Borneo Sabah) sekarang ini sudah diberikan SST kepada 14 syarikat yang daripada jumlah itu, 10 adalah dari Sabah.

“Kita juga menetapkan bukan hanya syarikat di Sabah untuk melaksanakan projek di negeri itu, tetapi  turut memberi peluang kepada syarikat dari Sarawak dan Semenanjung,” katanya.

Ahmad berkata tender terbuka melalui prakelayakan terpilih telah melalui beberapa proses dengan keputusan akhir dibuat oleh Kementerian Kewangan (MOF).

Beliau berkata bagi projek dengan nilai melebihi RM100 juta, segala keputusan akhir ditentukan oleh MOF.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan