BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pemilihan Wakil Parlimen Belia Format Baharu Pada Mac 2025

08/11/2024 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Pemilihan bagi perwakilan Parlimen Belia akan dilakukan dengan pelarasan format baharu bermula Mac tahun depan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul. 

Johari berkata format baharu itu akan mengambil kira penglibatan daripada semua Universiti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh negara untuk mencadangkan perwakilan masing-masing.

“Pemilihan Parlimen Belia tahun depan kita buat penyelarasan format baharu, kita sedang berbicara dengan universiti tentang kaedah perluasan …sekarang kita ada 100 kerusi dan kita nak luaskan kepada 222 kerusi dengan setiap kawasan akan ada satu ahli Parlimen Belia.

“Sekarang pemilihan bersifat individu, tetapi kita nak galakkan supaya ia datang melalui universiti, jadi KP (Ketua Pentadbir) Parlimen Malaysia (Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman) sedang meneliti perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Parlimen Malaysia Kali Ketiga bertajuk "Parlimen: Tunjang Semak Imbang Negara" di Dewan Bankuet, Blok Utama Bangunan Parlimen di sini hari ini. 

Sebelum ini, program Parlimen Belia dianjurkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan dan kini telah diambil alih oleh Parlimen Malaysia. 

Parlimen Belia ialah platform terbaik bagi anak muda terutama pelajar melibatkan diri pada peringkat awal dunia politik, selain membantu negara mengasah bakat mereka untuk menjadi wakil rakyat yang lebih baik pada masa depan. 

Ditanya mengenai proses pemilihan Parlimen Belia, Johari berkata ia akan menyerupai proses Pilihan Raya Umum dan pihak Parlimen Malaysia sedang meneliti perkara itu. 

"Kita sedang melihat perincian untuk menambah baik prestasi di Parlimen Belia … kita mengharapkan ia menjadi tempat latihan untuk cara berbahas, bangkitkan isu.

"Kita kena merancang semua perkara … parti-parti politik juga sudah tentu mesti mengambil sikap dan tanggungjawab mengadakan program latihan kepada bakal pemimpin mereka," katanya.

Berhubung penggunaan sistem tenaga solar di Parlimen, beliau berkata ia dijangka memberi penjimatan hingga RM1 juta setahun, di samping membantu mengurangkan pencemaran alam.

Sebelum ini, Johari memaklumkan Parlimen Malaysia antara terawal di dunia menggunakan tenaga solar dalam operasinya iaitu bermula 1 Okt lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan