BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPT Hasrat Sedia Lebih Penajaan Program Sub Kepakaran, Sabatikal Kepada Pensyarah UA

11/11/2024 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhasrat menyediakan lebih banyak penajaan di peringkat program sub kepakaran dan sabatikal pada masa depan dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara, serta meningkatkan kepakaran dan kompetensi pensyarah Universiti Awam (UA) seiring teknologi dan keperluan semasa.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata KPT kini sedang menyemak semula kemudahan penawaran dan syarat kelayakan baharu untuk program pascakedoktoran dan tidak terhad kepada pensyarah berjawatan tetap sahaja.

“Ketika ini, terdapat empat program penajaan yang disediakan kepada pensyarah di UA iaitu Program Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB), Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI), Sub Kepakaran dan Pasca Kedoktoran untuk pensyarah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Zambry berkata KPT komited memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat termasuk anggota tentera.

Bagi tujuan itu, beliau berkata kementerian melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sedang mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pertahanan untuk membangunkan projek khas Work Base Learning 2.0 iaitu pemetaan kurikulum program dengan pengalaman dan perkhidmatan anggota tentera yang dapat membantu meningkatkan kemahiran mereka.

Mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035 yang sedang dibangunkan, Zambry berkata ia menetapkan 10 lonjakan dan sembilan peralihan.

Beliau berkata ia termasuk peralihan daripada sistem pendidikan tinggi konvensional dan silo kepada yang menggunakan sepenuhnya teknologi terkini serta daripada individu celik teknologi kepada kompetensi dalam teknologi inovasi dan insaniah.

Sementara itu, Zambry berkata penubuhan sesebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) merangkumi UA, politeknik dan kolej komuniti akan dinilai berdasarkan aspek tertentu termasuk permintaan semasa yang merangkumi keperluan dan perspektif pelajar dan masyarakat, serta mesti seimbang dengan saiz populasi.

Beliau berkata penubuhan IPTA juga mengambil kira kecukupan dan kesediaan tenaga pakar dalam sesuatu bidang, keupayaan menyediakan dan menyelenggara prasarana serta kemandirian kewangan.

Selain itu, ia mengambil kira prospek dan jenis program yang hendak ditawarkan, risiko pertindihan dan sebarang ketidakpadanan dengan IPT dan program sedia ada, serta penawaran program yang boleh dilaksanakan secara maya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan