BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ada Najis Tikus Dan Lipas, MBPP Arah 52 Premis Perniagaan Ditutup Sejak Januari

08/11/2024 01:40 PM

GEORGE TOWN, 8 Nov (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan 52 premis perniagaan ditutup susulan isu kebersihan yang serius termasuk penemuan najis tikus dan lipas, dari Januari hingga hari ini.

Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MBPP Tan Soo Siang berkata penutupan itu ialah hasil daripada pemeriksaan rutin dan rawak yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan berkenaan bagi memastikan restoran dan kedai makan mematuhi piawaian kebersihan yang ketat.

Beliau berkata penutupan 52 premis terbabit termasuk lapan premis makanan yang diarahkan tutup kerana kotor semalam, selepas penemuan najis tikus serta lipas di bahagian dapur, dalam operasi yang dijalankan di sekitar George Town.

"Terdapat satu premis makanan yang tidak menghiraukan aspek kebersihan penyediaan makanan kepada pelanggan dengan memproses atau memotong ikan mentah di atas lantai selain terdapat premis yang tidak menyelenggara dengan baik peti beku yang menyimpan bahan mentah.

"Lapan premis makanan itu diarahkan tutup selama 14 hari kerana tahap kebersihan yang lemah dan kotor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi itu terbahagi kepada dua sesi dengan memberi tumpuan utama kepada aspek kebersihan kawasan penyediaan makanan, iaitu bahagian dapur, ruang penyimpanan bahan mentah dan sebagainya.

Tan berkata pihaknya percaya bahawa pemeriksaan rambang itu bukan sahaja memastikan restoran dan premis makanan mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan, tetapi juga mempunyai kesan positif kepada industri makanan dan minuman secara keseluruhan.

Beliau berkata penutupan premis-premis itu bukan bertujuan merugikan perniagaan, tetapi untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat tempatan.

“Kami menyeru semua pihak agar terus bekerjasama bagi memastikan masyarakat dapat menikmati makanan yang selamat, bersih, dan berkualiti selain akan terus mempergiatkan usaha pemantauan untuk meningkatkan standard kebersihan serta keselamatan makanan di semua premis perniagaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan