KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Ketabahan dan dedikasi dalam bidang kewartawanan sejak 40 tahun lepas telah memberikan ganjaran kepada Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai yang merangkul Anugerah Personaliti Terbaik Media di Anugerah SEBA 2024.
Menerima anugerah itu bagi pihak Wong, Timbalan Ketua Pengarah Bernama (Perkhidmatan Berita) Nasriah Darus berkata ia adalah bukti semangat dan kesungguhan beliau dalam dunia kewartawanan.
Sementara itu, menerusi satu rakaman video, Wong merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan bagi anugerah tersebut yang diterima daripada Yayasan Usahawan Malaysia.
"Saya rasa ini adalah sesuatu yang menakjubkan kerana setiap tahun, Anugerah SEBA biasanya dikhaskan kepada usahawan dan sebagai individu daripada industri media, seorang wartawan, saya menganggap ini adalah satu penghormatan yang besar.
"Ia satu lagi pencapaian dalam kerjaya saya namun anugerah ini juga adalah satu pengiktirafan bukan sahaja untuk saya tetapi juga kepada seluruh industri, untuk rakan sekerja dan sahabat dalam industri media, bukan sahaja di Bernama dan petugasnya malah buat keseluruhan frateniti media.
“Ini sememangnya satu cabaran dan tanggungjawab yang besar untuk berkongsi anugerah ini dengan semua penerima," katanya pada edisi ke-11 Anugerah SEBA 2024 yang berlangsung di sini malam ini.
Wong, 63, yang dilantik menganggotai Pasukan Petugas Khas berkaitan Indeks Persepsi Rasuah, adalah antara 35 penerima anugerah pada majlis itu.
Tokoh media terkemuka dan pemenang anugerah dalam bidang kewartawanan itu telah dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sejak September 2023.
Wong, yang berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengelola BERNAMA dari 2004 hingga 2010 dan Majlis Penyeliaan BERNAMA dari 2010 hingga 2014, juga adalah Penasihat Kumpulan The Star Media Berhad.
Beliau telah memegang pelbagai jawatan di The Star termasuk sebagai Ketua Pengarang Kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan serta menjadi rakyat Malaysia pertama dipilih menganggotai Forum Editor Sedunia yang berpangkalan di Paris selain menjadi Pengerusi Asia News Network yang berpangkalan di Singapura.
Selain itu, Wong telah dinobat sebagai wartawan terbaik oleh Institut Akhbar Malaysia dalam kategori penulisan rencana bagi artikel berbentuk penyiasatan mengenai kumpulan pengganas di Malaysia pada 2003.
Wong, yang juga Pengarah Institut Kepimpinan dan Strategik Asia iaitu sebuah badan pemikir bebas, adalah kolumnis mingguan On The Beat bagi akhbar The Star serta Sin Chew Daily.
Beliau telah menghasilkan dua buku dan adalah pencipta kandungan yang aktif di media sosial.
Anugerah SEBA 2024, anjuran Yayasan Usahawan Malaysia iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuang nasib golongan itu di negara ini, adalah program tahunan bagi mengiktiraf perusahaan kecil dan sederhana, perusahaan dan para usahawan di Asia Tenggara.
Pengerusi Yayasan Usahawan Malaysia merangkap Pengasas Anugerah SEBA Datuk Nitesh Malani dalam ucapannya pula berkata inisiatif yang dilaksana oleh kerajaan semasa adalah bertujuan meningkatkan standard dan pertumbuhan industri itu.
"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan telah membuat komitmen yang signifikan bagi memupuk satu persekitaran di mana perniagaan boleh berkembang maju dan menyokong syarikat di peringkat awal terutama dalam sektor teknologi serta digital dengan Kerangka Insentif Inisiatif Pelaburan Baharu (NIIF) direka untuk menarik pelaburan langsung asing.
“Ia akan memfokus kepada sektor bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan, robotik dan FinTech yang menawarkan pertumbuhan besar dalam kesemua bidang ini.
“Geran khas untuk PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) melalui SME Corp serta pelbagai agensi di bawah KUSKOP adalah asas bagi mengembangkan ekonomi tempatan," katanya.
Bertema 'Beyond Boundaries', acara itu bertujuan menyediakan platform yang utuh kepada para usahawan untuk pengiktirafan, rangkaian dan pertumbuhan berterusan selain memberi penghormatan kepada pencapaian yang boleh menjadi teladan dalam keusahawanan di seluruh rantau ASEAN.
Majlis itu, yang dihadiri lebih 56 usahawan, adalah bagi mencari syarikat teladan yang cemerlang dalam industri masing-masing, metrik pertumbuhan dan amalan terbaik.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial