BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penting Atasi Sindrom Metabolik Yang Menyumbang Kepada Masalah Urinari Lelaki

08/11/2024 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Menangani kesihatan lelaki terutamanya pengurusan sindrom metabolik (MetS) kian menjadi keutamaan dalam kesihatan awam memandangkan Malaysia kini bergerak ke arah masyarakat menua. 

Untuk memupuk kesedaran tentang MetS Movember dan keperluan pengurusan kesihatan yang proaktif, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) menyentuh mengenai risiko seperti masalah urinari dan penyakit buah pinggang kronik yang menjejaskan sebahagian besar penduduk.

Movember ialah kempen global yang menggabungkan "misai" dan "November" untuk menggalakkan lelaki di seluruh dunia menyimpan misai dan menyertai aktiviti pada sepanjang bulan ini bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan lelaki.

Walaupun Movember secara tradisinya dikaitkan dengan kanser prostat dan kesihatan mental, menurut SMCV MetS boleh membantu memberikan kesan mendalam kepada kesihatan serta jangka hayat lelaki.

“Menjelang 2040, demografi Malaysia akan merangkumi jumlah populasi muda (18.6 peratus) dan mereka lebih berusia (14.5 peratus) hampir sama dengan populasi warga emas yang melebihi enam juta - satu penemuan penting dalam peralihan negara kepada masyarakat menua,”  menurut SMCV dalam kenyataan hari ini.

Apabila peralihan demografi berlaku, pengurusan MetS dalam kalangan golongan lelaki akan menjadi kunci untuk menggalakkan penuaan yang sihat dan menyokong daya tahan sepanjang fasa kehidupan.  

Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Nefrologi SMCV Dr Radzi Rodzlan berkata tiga daripada lima faktor risiko MetS iaitu central obesity, serum trigliserida yang tinggi (mempunyai terlalu banyak lemak dalam darah), low high-density kolesterol lipoprotein (HDL-C) atau seseorang tidak mempunyai cukup "kolesterol baik" dalam darah, peningkatan tekanan darah dan paras gula dalam darah ketika puasa. 

MetS boleh memberikan kesan kepada lelaki dan wanita dengan kajian menunjukkan prevalens keseluruhan MetS dalam kalangan dewasa di Malaysia antara 25 hingga 40 peratus. Faktor risiko yang paling berkait dengan MetS termasuk usia dan sejarah diabetes sama ada pada diri sendiri atau ahli keluarga. 

Faktor risiko lain yang menyumbang termasuk amalan diet yang tidak sihat, gaya hidup tidak aktif, merokok, sejarah pengambilan alkohol berlebihan, tekanan, menopaus dan diet tinggi lemak. MetS juga meningkatkan risiko mendapat diabetes Jenis 2 serta penyakit jantung dan saluran darah, dan berpotensi membawa kepada serangan jantung atau strok yang mengancam nyawa.

Dr Radzi berkata MetS boleh mengakibatkan perubahan ketara pada struktur dan fungsi buah pinggang termasuk penurunan kadar penapisan glomerular (GFR) yang mengukur keupayaan buah pinggang seseorang berfungsi dalam menapis sisa dan cecair tambahan daripada darah, dan peningkatan microalbumin urin yang menunjukkan terdapat kebocoran protein daripada buah pinggang.

Beliau berkata perubahan sedemikian dalam fungsi buah pinggang boleh membawa kepada penyakit buah pinggang kronik (CKD) yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan lebih serius termasuk penyakit buah pinggang tahap akhir yang memerlukan dialisis atau pemindahan buah pinggang.

“Simptom awal dan tanda masalah buah pinggang yang dikaitkan dengan MetS termasuk bengkak kaki, urin berbuih dan keabnormalan dalam keputusan ujian darah dan urin. Pemeriksaan kesihatan secara berkala penting untuk pengesanan awal bagi mengelakkan komplikasi CKD yang lebih teruk,” katanya.

Sementara itu, Perunding Urologi dan Pakar Bedah Robotik SMCV Datuk Dr Selvalingam Sothilingam berkata MetS juga dikaitkan dengan beberapa keadaan urologi termasuk batu karang, benign prostatic hyperplasia (BPH) atau pembesaran prostat, gejala saluran kencing yang lebih rendah (LUTS), disfungsi erektil, ketidaksuburan lelaki dan kanser prostat.

"Terdapat banyak bukti menunjukkan bahawa lelaki yang menghidap MetS mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami simptom urinari daripada tahap sederhana sehingga teruk apabila mereka semakin berusia," kata Dr Selvalingam.

LUTS lazimnya disebabkan oleh BPH dan gejalanya termasuk lambat untuk memulakan buang air kecil (teragak-agak), urin yang sedikit, pengosongan pundi kencing yang tidak lengkap, kerap membuang air kecil dan tidur terganggu akibat kerap buang air pada waktu malam.

Oleh itu, beliau menggesa lelaki yang mengalami gejala urinari itu untuk mendapatkan rawatan perubatan secepat mungkin terutama mereka yang mempunyai paras Antigen Khusus Prostat (PSA) yang tinggi.

“Jika tidak dirawat, BPH boleh membawa kepada komplikasi seperti jangkitan saluran urinari, darah dalam urinari, halangan urinari akut, inkontinens urinari, kerosakan buah pinggang dan bengkak buah pinggang (hydronephrosis) dan jika tidak dirawat boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang,” katanya.

Oleh itu, kedua-dua perunding menggalakkan perubahan gaya hidup termasuk melakukan senaman dengan lebih kerap untuk memerangi rintangan insulin dan mengamalkan diet yang seimbang dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat.

Langkah proaktif ini boleh meningkatkan tahap kesihatan secara keseluruhan selain mengurangkan risiko MetS yang menyumbang kepada masalah urinari dan buah pinggang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan