BELANJAWAN 2025 > BERITA

SDEC 2024 Tarik 20,000 Pengunjung, Jana RM100 Juta Transaksi Berpotensi

08/11/2024 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) yang berlangsung dari 16 hingga 19 Okt, 2024 berjaya menarik lebih 20,000 peserta selain menjana kira-kira RM100 juta dalam urus niaga berpotensi menerusi kerjasama strategik dan libat urus perniagaan.

Menurut Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), konvensyen itu menampilkan kawasan pameran yang dinamik dengan 214 gerai termasuk 23 pempamer antarabangsa serta 121 syarikat merentasi e-dagang, teknologi kewangan, kecerdasan buatan (AI), robotik, telekomunikasi dan pengurusan bandar.

Pempamer utama dalam konvensyen berkenaan termasuk Kumpulan Perbankan Affin, TikTok Shop, PayMate dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM).

Kumpulan pempamer ini mempersembahkan produk dan penyelesaian termaju masing-masing selain menarik ribuan pelawat yang teruja untuk berinteraksi dengan pakar industri, majlis perbandaran dan pencipta teknologi ketika Malaysia bergerak ke arah ekonomi yang dipacu secara digital.

SDEC 2024 juga menyaksikan 14 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai yang bertujuan memperkukuhkan keupayaan Malaysia dalam bidang AI, semikonduktor dan e-dagang.

Pertukaran MoU yang dilaksanakan termasuk di antara Sidec dengan Cyberview Sdn Bhd, Sidec dengan NCT Group, ASEM dengan 19 universiti, Menteri Besar Selangor Incorporated dengan BizApp, serta Sidec dengan PayMate.

Konvensyen tersebut turut menganjurkan tiga persidangan utama iaitu Inovasi Semikonduktor, Inovasi AI Generatif serta Sidang Kemuncak Digitalisasi PKS TikTok Shop yang menampilkan 61 penceramah dari tujuh negara termasuk Malaysia, Singapura, Perancis, China, Taiwan, UK dan Hong Kong.

Sementara itu, Hari Demo Akhir Selangor Accelerator Programme menutup acara selama empat hari itu dengan pengumuman 10 syarikat permulaan sebagai pemenang utama.

Sidec berkata syarikat permulaan ini dipilih daripada 20 finalis berpotensi tinggi yang mempersembahkan penyelesaian terbaharu dalam kecerdasan buatan, mobiliti pintar, inovasi berasaskan bio dan inisiatif sifar karbon.

"Para pemenang termasuk syarikat Alphaswift, Baituljannah, Shieldbase, Green Advantex dan Vidanex menerima hadiah yang turut memberikan bimbingan, pendedahan kepada pelabur serta peluang untuk pengembangan antarabangsa.

"Kemenangan ini juga mendorong syarikat-syarikat tersebut bergerak ke hadapan dalam perjalanan pertumbuhan perniagaan masing-masing," kata Sidec.

SDEC tahun ini bukan sahaja meraikan inovasi tetapi juga menandakan pencapaian bersejarah bagi Selangor sebagai negeri pertama di Malaysia yang melepasi aktiviti ekonomi bernilai RM400 bilion.

Menerusi pengumuman inisiatif baharu termasuk strategi AI komprehensif dalam Belanjawan Selangor 2025 yang akan datang, konvensyen ini menekankan kepimpinan Selangor dalam transformasi digital serta komitmennya untuk memajukan kedudukan Malaysia sebagai kuasa ekonomi digital.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan