BELANJAWAN 2025 > BERITA

Terengganu Inc, MB Holding LLC Dari Oman Meterai MoU Teroka Potensi Kerjasama Industri

08/11/2024 03:12 PM

KUALA TERENGGANU, 8 Nov (Bernama) -- Syarikat pelaburan induk strategik kerajaan Terengganu, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) dengan MB Holding LLC Group dari Oman untuk tujuan meneroka potensi kerjasama industri di negeri tersebut.

Terengganu Inc berkata MB Holding LLC merupakan kumpulan syarikat mutinasional yang menjalankan perniagaan minyak dan gas, kejuruteraan marin, perlombongan, pembuatan dan hartanah di lebih 20 buah negara.

Majlis permeteraian MoU tersebut yang berlangsung di Muscat, Oman, semalam, menandakan komitmen kerjasama untuk pembangunan bersama dalam bidang tenaga terutama sektor huluan minyak dan gas, penjagaan kesihatan, pelancongan, bidang pembuatan dan pembangunan lestari dengan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing.

Syarikat itu berkata MoU pertama yang dimeterai adalah antara Terengganu Inc dengan anak syarikat MB Holding LLC, Petrogas E&P Oman melalui Petrogas Sisma Energy bagi penerokaan kerjasama dalam sektor huluan minyak dan gas.

“Kekuatan perniagaan dan pengalaman Petrogas E&P mengendalikan sektor huluan minyak dan gas termasuk Late Life Asset (LLA) di Eropah, Timur Tengah dan Afrika dengan pengeluaran 100,000 tong sehari akan membuka ruang lebih besar untuk hubungan perniagaan jangka panjang di Terengganu khususnya dan Malaysia amnya,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala MoU kedua adalah antara Terengganu Inc  dengan Mohammed Al Barwani (MB LLC) bagi tujuan memperluaskan bidang penerokaan kerjasama dalam sektor penting dan berpotensi antara kedua-dua pihak yang dimeterai oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta pengerusi syarikat multinasional tersebut, Dr Mohamed Al Barwani.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata perjanjian tersebut akan membuka ruang kerjasama erat yang lebih luas dengan ekplorasi tenaga, minyak dan gas, penjagaan kesihatan, perkilangan serta pelancongan.

“Kerjasama strategik tersebut dijangka mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan baharu dalam usaha kerajaan negeri memperbaiki taraf hidup rakyat pada masa hadapan.

 “Kedua-dua pihak akan secara efisien melaksanakan pembangunan komersial termasuk sektor minyak dan gas, penjanaan tenaga, dan lain-lain industri huluan bagi manfaat bersama,” katanya dalam kenyataan tersebut

Turut hadir pada majlis permeteraian tersebut ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Inc Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun dan CEO Petrogas Sisma Dr Jamal Yusof.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan