BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pengerusi ASEAN: Malaysia Berpeluang Tingkat Kerjasama Sektor Takaful, Takaful Semula

08/11/2024 07:47 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Malaysia, yang akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan berpeluang memajukan kerjasama serantau dalam sektor kritikal termasuk dalam takaful dan takaful semula, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Beliau berkata Malaysia bersedia mengetuai usaha kerjasama itu dan mendorong inisiatif yang mampan menerusi penyepaduan serantau dalam takaful dan takaful semula, yang memberi manfaat pembangunan jangka panjang kepada komuniti di seluruh Asia Tenggara dan rantau ini. 

“Saya berharap agar industri takaful mengambil peluang ini dan menyusun strategi untuk memaksimumkan manfaat peluang yang unik ini,” katanya pada pelancaran Hijrah27 Persatuan Takaful Malaysia (MTA) di sini hari ini.

Hijrah27 MTA, satu pelan tranformasi strategik yang mengubah landskap takaful sambil mengukuhkan kepimpinan negara dalam kewangan patuh syariah.

Pelan itu menangani 19 cabaran utama merangkumi kesedaran, pengedaran, digital, daya saing produk, bakat dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus, yang dikenal pasti melalui penglibatan dengan pihak berkepentingan industri dan pembuat keputusan.

Hijrah27 juga sejajar dengan misi MTA untuk mencapai matlamat berpandukan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2026 dan rangka kerja pengantaraan berasaskan nilai industri untuk takaful (VBIT).

Pada majlis yang sama, MTA meraikan ulang tahun ke-40 industri takaful di Malaysia.

Sementara itu, Adnan Zaylani berkata pasaran takaful telah berkembang dengan pesat, dengan saiz sumbangan takaful hampir tiga kali ganda sepanjang dekad yang lepas dan kini telah merangkumi 24.7 peratus daripada bahagian pasaran insurans dan takaful.

Beliau berkata industri itu kini mewujudkan pemain yang menyediakan pelbagai penyelesaian untuk memenuhi keperluan isi rumah dan perniagaan.

“Pada 2023, jumlah sumbangan bersih meningkat kepada RM17.3 bilion, naik enam peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Walaupun menghadapi masalah dan ketidaktentuan global, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan peningkatan yang menggalakkan dalam momentum ekonomi.

Beliau berkata, berikutan separuh pertama 2024 yang kukuh, pertumbuhan setahun penuh kini dijangka berada di sekitar hujung atas julat ramalan empat hingga lima peratus, dengan prestasi berterusan pada 2025.

“Dengan prospek pertumbuhan ini dan pembaharuan struktur kerajaan yang berterusan, rasionalisasi subsidi dan penambahbaikan dalam perlindungan sosial, terdapat peluang besar untuk industri takaful berkembang dan memberikan perubahan yang bermakna,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan