BELANJAWAN 2025 > BERITA

Selangor Teliti Laksana Projek Mitigasi Banjir Guna Model Jepun

08/11/2024 10:54 PM

KUALA SELANGOR, 8 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor sedang meneliti cadangan mitigasi banjir melibatkan pembinaan terowong bawah tanah berdasarkan model digunakan di Jepun, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim. 

Beliau berkata cadangan projek dengan anggaran nilai RM6 billion itu telah diajukan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof kerana ia turut membabitkan beberapa kawasan di ibu kota. 

"Ini sebahagian kajian yang akan terlibat di bawah Pelan Induk Air Selangor kerana berdasarkan pandangan pakar, sungai kita tidak mampu menguruskan taburan hujan yang luar biasa dan ini bukan sahaja mampu menyelamatkan Selangor tetapi juga Kuala Lumpur. 

"Seperti yang dilakukan di Jepun, kita ambil sungai utama yang mengalir ke Selangor di Kuala Lumpur contohnya Sungai Gombak, kita tap limpahan air di situ dan salurkan ke kuala sungai atau ke laut bagi mengelakkan masalah banjir," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Selangor Pakej B di Rumah Pam Rantau Panjang di sini hari ini.

Mengulas mengenai penyerahan projek SJAM hari ini beliau berkata ia sebagai langkah pengurusan jika berlaku pencemaran di Sungai Langat dan Sungai Selangor bagi mengalirkan air mentah dari Kolam Takungan Hang Tuah, Bestari Jaya ke muka sauk Loji Rawatan Air Rantau Panjang. 

"Jika berlaku pencemaran, kolam ini mampu bertahan (untuk bekalkan air bersih) selama lima hari tetapi kita yakin jika berlaku pencemaran biasanya tidak selama itu untuk diuruskan," katanya. 

Izham berkata tiga lagi pakej SJAM meliputi A,C dan D kini berapa pada tahap 94.5 peratus dengan keseluruhan kos RM320 juta. 

"Saya juga akan berbincang dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri kerana saya tertarik dengan idea di Jepun iaitu tempat seperti ini mereka jadikan sebagai tarikan pelancong di samping untuk tujuan pendidikan," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan