BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lebih RM6 Juta Disalur Untuk Pendidikan Dan Infrastruktur Parlimen Sungai Buloh - Ramanan

10/11/2024 07:18 PM

SUNGAI BULOH, 10 Nov (Bernama) -- Sepanjang tempoh dua tahun mengendalikan Parlimen Sungai Buloh, lebih RM6 juta peruntukan mesra rakyat telah disalurkan terutamanya untuk pendidikan dan peningkatan kemudahan awam, kata Ahli Parlimennya Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata pendidikan menjadi keutamaan dalam penggunaan peruntukan, kerana melihatnya sebagai asas penting buat generasi masa depan.

“Pendidikan amat penting kerana anak-anak kita, generasi yang bakal mewarisi negara ini. Oleh itu, sebahagian besar peruntukan tersebut disalurkan kepada sekolah-sekolah untuk meningkatkan kemudahan dan pengurusan.

“Selain itu, sebahagian peruntukan juga digunakan bagi penyelenggaraan jalan raya dan pengurusan bencana banjir,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Sungai Buloh bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Zamri Salleh dan Pengarah Urusan AIM Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz.

Ramanan berkata sepanjang tahun ini dan tahun lepas, semua peruntukan mesra rakyat digunakan sepenuhnya, termasuk bagi pembinaan rumah anak yatim dan pembangunan sekolah tanpa sebarang dana yang dikembalikan.

Dalam ucapannya, Ramanan turut memaklumkan peruntukan yang disalurkan untuk pembangunan infrastruktur meliputi lebih RM1 juta bagi pengurusan sekolah, RM1 juta untuk kemudahan rakyat dan RM4.7 juta untuk menaik taraf jalan raya di kawasan Sungai Buloh.

Beliau yang juga diberikan mandat menjawab isu berkaitan hal ehwal masyarakat India serta Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), berjanji untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu buat komuniti India pada tahun hadapan.

“Selain menjawab isu-isu yang dibangkitkan, kita juga fokus kepada inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup komuniti India. Tahun ini, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) di bawah AIM serta Program Pembiayaan Bank Rakyat bagi Usahawan Berbangsa India (BRIEF-i),” katanya.

Ramanan berkata Program BRIEF-i, telah memberi manfaat besar kepada masyarakat India yang berniaga, dengan lebih RM40 juta daripada dana RM50 juta telah disalurkan.

Program PENN pula, walaupun baru diperkenalkan lima bulan lepas, telah menyalurkan RM22 juta daripada jumlah keseluruhan RM50 juta.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan