BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kuskop Lancar Inisiatif Baharu Usahawan India, Tambah Dana RM136 Juta

12/11/2024 02:21 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melancarkan inisiatif baharu kepada usahawan India melibatkan penambahan dana pembiayaan berjumlah RM136 juta.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri R.Ramanan berkata antara inisiatif yang dilancarkan adalah Program PENN (Prosperity, Empowerment and A New Normal for Indian Women) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia berjumlah RM50 juta.

“Kuskop telah memperkenalkan Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) berjumlah RM50 juta.

“Turut diperkenalkan adalah Program Business Accelerator untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) berjumlah RM6 juta dan Program SPUMI (Skim Pembangunan Usahawan India) Goes Big berjumlah RM30 juta,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahya (PN-Sungai Besar) berkenaan inisiatif pembaharuan Kuskop secara komprehensif khususnya dalam memacu pertumbuhan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sementara itu, Ramanan berkata Kuskop juga akan terus menggalakkan penglibatan PMKS dalam aktiviti bernilai dan mempunyai pertumbuhan tinggi yang mampu memberikan sumbangan lebih besar kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

“Ia bagi menyokong pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi meningkatkan daya saing dan penyertaan PMKS dalam rantaian nilai industri pembuatan berpertumbuhan tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Menurutnya PMKS telah mencatat pertumbuhan lima peratus untuk menyumbang sebanyak RM613.1 bilion pada 2023 berbanding RM584.1 bilion pada 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan