BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lebih 4,700 Remaja Bawah Umur Terlibat Judi Dalam Talian - Polis Korea Selatan

10/11/2024 04:46 PM

SEOUL, 10 Nov (Bernama-Yonhap) -- Agensi Polis Kebangsaan Korea mendedahkan pada Ahad bahawa mereka mengenal pasti lebih 4,700 remaja terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian sepanjang tahun lalu, lapor Agensi Berita Yonhap.

Menurut Agensi Polis Kebangsaan, seramai 4,715 individu di bawah umur 19 tahun dikesan semasa operasi khas membanteras perjudian haram dalam talian yang dilaksanakan dari September 2023 hingga Oktober tahun ini. Tiada tangkapan dibuat terhadap remaja terbabit.

Jumlah itu merangkumi 47.2 peratus daripada semua kumpulan umur yang terlibat dalam operasi itu.

Polis sebelum ini memberi tumpuan kepada pengendali perjudian haram dan kaki judi tegar atau berisiko tinggi, namun skop kempen diperluaskan tahun lalu susulan peningkatan masalah perjudian dalam kalangan remaja.

Golongan remaja bawah umur melonjak sebanyak 2,784 peratus daripada hanya 162 kes yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.

Golongan remaja 17 tahun mencatat bilangan tertinggi, iaitu 1,763 orang, diikuti remaja berusia 16 tahun (1,241 orang) dan 15 tahun (560 orang).

Permainan kasino dalam talian merupakan bentuk perjudian paling popular dalam kalangan golongan ini yang merangkumi 82.6 peratus daripada keseluruhan kes.

Jumlah keseluruhan pertaruhan mencecah 3.7 bilion won (US$2.64 juta), dengan purata pertaruhan 780,000 won seorang.

Daripada 4,715 kes, 1,733 dirujuk kepada perkhidmatan kaunseling profesional, menurut pihak polis.

Agensi itu turut memaklumkan bahawa operasi khas akan dilanjutkan untuk tempoh setahun lagi memandangkan perjudian haram dalam kalangan remaja masih menunjukkan trend yang membimbangkan.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan