BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Berpotensi Teroka REE Bagi Menyokong Industri Pembuatan EV - Nik Nazmi

11/11/2024 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Malaysia mempunyai potensi besar untuk terlibat dalam industri unsur nadir bumi (REE) di peringkat hiliran sekali gus menjadi negara pengeluar super magnet di dunia, khususnya bagi menyokong perkembangan industri pembuatan kenderaan elektrik (EV).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata hala tuju REE terkini yang melihat kepada keseluruhan rantaian nilai di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Keenam Tahun 2024 dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Katanya kajian cadangan model perniagaan untuk industri REE ini telah dilaksanakan oleh Akademi Sains Malaysia dengan melihat keseluruhan ekosistem itu.

“Malaysia memiliki potensi yang besar untuk terlibat dalam industri ini terutamanya di peringkat hiliran untuk menjadi negara pengeluar yang menyokong perkembangan industri pembuatan EV.

“Namun, ekosistem ini memerlukan adanya industri pertengahan tempatan bagi memproses sumber mentah REE dalam bentuk rare earth carbonate (REC) yang dikeluarkan dan dihasilkan oleh lombong-lombong tempatan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata syarikat perlombongan nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd, telah memberi komitmen dan bersedia membuka kemudahan kepada Malaysia untuk memproses REE negara ini.

“Sekarang proses REE dari Australia berbeza dengan Malaysia. Lynas beri komitmen bahawa mereka sedia untuk membuka satu lagi kemudahan bagi memproses REE dari negara kita,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun komitmen syarikat itu perlu mematuhi syarat-syarat alam sekitar, kesihatan dan keselamatan yang ketat.

“Di pihak Lynas, mereka meminta tempoh lesen yang panjang dan perkara ini sedang dibincangkan secara terbuka untuk dinilai. Ini kerana pembukaan kemudahan baharu memerlukan pelaburan yang besar dan sekiranya permohonan itu tidak diluluskan, maka tiada masa depan untuk mereka di sini,” katanya.

Buat masa ini, hasil produk Lynas yang diterima dari Australia diproses dan dieksport ke luar negara seperti Vietnam dan Jepun.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan