BELANJAWAN 2025 > BERITA

AmBank Mengunjurkan Pertumbuhan KDNK Perlahan Pada Suku Ketiga Kepada 5.1 Peratus

11/11/2024 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- AmBank Group mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun-ke-tahun (y-o-y) bagi Malaysia lebih perlahan kepada 5.1 peratus pada suku ketiga 2024, turun daripada anggaran awal pada 5.3 peratus.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank itu berkata selepas mempertimbangkan data statistik terkini, unjuran berkenaan mencerminkan sedikit perbezaan daripada anggaran awalnya pada lima peratus.

"Ini sejajar dengan pandangan awal kami bahawa pertumbuhan suku ketiga akan kekal sekitar lima peratus selepas mencapai pertumbuhan puncaknya pada suku sebelumnya apabila kesan asas yang rendah mulai hilang," kata bank itu.

Jika ia menjadi realisasi, Ambank berkata ini akan menjadikan pertumbuhan Malaysia untuk sembilan bulan pertama tahun ini kepada 5.1 peratus, memastikan ia berada di landasan untuk mencapai unjuran rasmi setahun penuh kepada 4.8 peratus hingga 5.3 peratus seperti yang dikemas kini baru-baru ini dalam pengumuman Belanjawan 2025. 

AmBank mengaitkan pertumbuhan itu kepada penggunaan isi rumah yang kukuh dan pasaran buruh yang teguh, dengan kadar pengangguran berkurangan kepada paras prapandemik 3.2 peratus, selaras dengan unjuran akhir tahunnya.

Ia juga berkata sektor perkhidmatan dan pembuatan terus memacu ekonomi Malaysia dengan menyumbang lebih 80 peratus daripada KDNK.

“Kami berpendapat pertumbuhan pada suku keempat 2024 akan lebih sederhana disebabkan tekanan daripada ketidaktentuan global yang boleh memberi kesan kepada sentimen pengguna dan perniagaan.

“Kami mengunjurkan KDNK 2024 kekal pada 4.9 peratus, yang nampaknya boleh dicapai kerana ia sejajar dengan anggaran rasmi,” tambahnya.

Pengumuman KDNK Malaysia dijadualkan pada Khamis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan