BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Komited Kurangkan Defisit Fiskal, Kekalkan Nisbah Hutang Bawah 60 Peratus 

11/11/2024 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) --Trend penurunan defisit fiskal menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat dikurangkan tidak melebihi 60 peratus dicapai dalam tempoh jangka sederhana. 

Kementerian Kewangan berkata dalam Belanjawan 2025, kerajaan menyasarkan defisit fiskal lebih rendah kepada 3.8 peratus daripada KDNK.

“Selaras dengan pengurangan defisit, hutang baharu kerajaan berkurang kepada RM92.6 billion pada 2023 daripada RM100 billion pada tahun sebelumnya dan seterusnya kepada anggaran RM84.7 bilion pada 2024 dan disasarkan RM80 bilion pada  2025,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kementerian Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh) yang ingin tahu kedudukan kewangan semasa termasuk hutang dan liabiliti kerajaan.

Sehingga akhir September 2024, jumlah pinjaman Kerajaan Persekutuan sebanyak RM166.5 bilion telah diterbitkan berkurang berbanding tempoh yang sama pada 2023 iaitu RM182.5 bilion.

Jumlah ini merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) sebanyak RM71 bilion (Januari – September 2023: RM69.5 bilion), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sebanyak RM73.5 bilion (Januari – September 2023: RM74.5 bilion) dan Bil Perbendaharaan sebanyak RM22 bilion (Januari – September 2023: RM38.5 bilion).

Daripada jumlah ini, sebanyak RM96.7 bilion digunakan untuk bayaran balik hutang yang matang merangkumi MGS sebanyak RM43.5 bilion, MGII (RM24.5 bilion), Bil Perbendaharaan (RM23 bilion), Sukuk Perumahan Kerajaan (RM5.5 bilion) dan pinjaman luar pesisir (RM0.2 bilion).

“Baki RM69.8 bilion merupakan terbitan pinjaman baharu untuk membiayai defisit dan sebahagian hutang yang akan matang dalam tempoh terdekat. Manakala, jumlah liabiliti Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM369.3 bilion pada akhir Jun 2024 (2023: RM361.1 bilion),” katanya.

Menurutnya, jumlah tersebut meliputi komitmen jaminan sebanyak RM231.4 bilion (2023: RM227.4 bilion) dan liabiliti lain RM137.9 bilion (2023: RM133.7 bilion).

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata hutang dalam denominasi mata wang asing adalah kecil iaitu sekitar 2.5 peratus daripada jumlah hutang, menjadikan pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing adalah rendah.

“Oleh itu, pengukuhan nilai ringgit akan mengurangkan jumlah bayaran faedah serta hutang yang matang, sekali gus mengurangkan beban kewangan Kerajaan Persekutuan.” katanya.

Kementerian itu berkata demikian sebagai menjawab soalan  Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang ingin tahu bagaimana peningkatan nilai ringgit akan membawa impak positif kepada ekonomi Malaysia, keadaan fiskal negara dan penurunan hutang negara.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan