BELANJAWAN 2025 > BERITA

PPS SSPA Ditubuh Beri Penjelasan Tepat, Elak Kekeliruan Penjawat Awam - KPPA

12/11/2024 01:03 PM

PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Pusat Panggilan Setempat (PPS) Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang ditubuhkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), bertujuan memberi penjelasan tepat bagi mengelak kekeliruan berlegar dalam kalangan penjawat awam berhubung sistem saraan baharu itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata penubuhan PPS memudahkan penjawat awam yang masih musykil berkaitan SSPA bertanya secara langsung kepada pegawai yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kajian SSPA.

Beliau berkata 20 pegawai yang mengendalikan PPS itu terlibat secara langsung dan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai sistem SSPA supaya penjelasan terperinci diberikan kepada penjawat awam bagi menyelesaikan sebarang kekeliruan.

"Saya sekali lagi menyeru semua penjawat awam untuk memilih SSPA bagi memberikan satu jaminan yang lebih baik apabila mereka pencen kelak," katanya kepada Bernama selepas merasmikan PPS SSPA di sini hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata data diperoleh JPA menunjukkan bahawa penerimaan penjawat awam terhadap SSPA amat baik dan masih berbaki dua minggu untuk mereka membuat pilihan sama ada tukar ke opsyen SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Pegawai awam diberikan tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Okt lepas hingga 30 Nov ini untuk memilih SSPA bagi menggantikan SSM.

Ditanya sama ada tempoh opsyen akan dilanjutkan, Wan Ahmad Dahlan berkata 40 hari yang diperuntukkan oleh kerajaan adalah mencukupi.

"Bagi mereka yang ingin mendapat pelarasan gaji pada Disember nanti, mereka perlu membuat pilihan sebelum atau pada 15 Nov. Tempoh masa ada lagi, sekiranya mereka menandatangani opsyen itu selepas 15 Nov maka pelarasan gaji akan dinikmati pada Januari (2025)," katanya.

Mengenai PPS SSPA, penjawat awam boleh menghubungi talian 03-8885 3380 yang beroperasi dari lsnin hingga Jumaat (kecuali Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am) bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Sejak pengenalan SSPA melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2024 pada 13 Sept lepas, sebanyak 54 sesi libat urus telah dilaksanakan untuk memberikan penerangan mengenai sistem saraan itu.

Pengenalan SSPA adalah sebahagian daripada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang lebih besar, bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam di samping dapat membantu mengurangkan kos sara hidup bagi pegawai awam.

Sistem itu dibangunkan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sektor awam, selaras dengan dasar Malaysia MADANI.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan