BELANJAWAN 2025 > BERITA

ACT Wanita: Malaysian Tigress Tewas Kepada China 0-5

12/11/2024 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Skuad hoki wanita kebangsaan sekali lagi dirundung kekecewaan apabila tewas kepada China 0-5 pada aksi kedua kempen Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2024 di Stadium Hoki Rajgir, Bihar hari ini.

China yang memulakan aksi dengan garang membolosi gawang skuad negara yang diberi julukan Malaysian Tigress pada minit ke-12 menerusi jaringan padang Yu Anhui.

Bersambung suku ketiga, skuad China menggandakan kedudukan selepas memanfaatkan pukulan sudut penalti menerusi Tan Jinzhuang pada minit ke-41 sebelum Wang Lihang meledakkan satu lagi jaringan untuk meletakkan pasukan itu pada kedudukan selesa lapan minit kemudian. 

Tidak cukup dengan itu, China terus menambah duka skuad negara di bawah bimbingan Mohamed Nasihin Nubil Ibrahim menerusi jaringan keempat dan kelima, masing-masing disudahi Tan Jinzhuang dan Hao Guoting pada minit ke-55 dan 57 dengan keputusan kekal 0-5 hingga tamat perlawanan. 

Keputusan itu menyaksikan Malaysia berada di kedudukan terakhir carta selepas tewas dalam dua perlawanan. 

Semalam, Malaysian Tigress memulakan kempen dengan langkah kiri apabila dibelasah tuan rumah India 0-4.

Menanti Malaysia ialah juara tiga kali Korea Selatan pada Khamis, Jepun (Sabtu) dan menutup kempen kumpulan menentang Thailand Ahad ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan