BELANJAWAN 2025 > BERITA

Galakan Pendapatan Pelaburan Asing Dibawa Balik Tidak Libat Jual Aset Di Luar Negara -- Amir Hamzah

12/11/2024 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Langkah kerajaan menggalakkan pendapatan pelaburan asing syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dibawa balik dan ditukar kepada ringgit tidak melibatkan sebarang penjualan pegangan aset dan pelaburan mereka di luar negara.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Dr Amir Hamzah Azizan berkata justeru itu syarikat GLC dan GLIC akan terus dapat mengekalkan strategi pelaburan mereka di luar negara.

Menurutnya, tindakan bersepadu tersebut membantu mewujudkan aliran dua hala dalam pasaran pertukaran asing domestik negara, yang membantu menyokong ringgit dan mengukuhkan keyakinan sektor perniagaan.

“Tindakan bersepadu ini akan diteruskan dan ia boleh menyumbang kepada pengukuhan sentimen dan nilai ringgit.

“Kadar pertukaran mata wang ringgit kepada dolar Amerika mengukuh lebih kuat berbanding sembilan negara serantau yang lain iaitu pada kedudukan pertama semenjak langkah koordinasi ini dilaksanakan pada 26 Februari 2024,” kata Amir Hamzah.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Setakat 11 Nov 2024, ringgit telah mengukuh sebanyak 4.2 peratus berbanding dolar AS, katanya.

“Dalam masa yang sama, ringgit juga mengukuh berbanding mata wang negara serantau iaitu sebanyak 13.5 peratus berbanding Yen, 12.9 peratus berbanding Won, 6.1 peratus berbanding Rupiah dan 4.9 peratus berbanding Baht.

“Jumlah purata hasil harian pertukaran asing telah meningkat daripada US$15 bilion antara 29 Dis 2023 hingga 26 Feb 2024, kepada US$18.2 bilion antara 26 Feb 2024 hingga 11 Nov, 2024,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan