BELANJAWAN 2025 > BERITA

Rakyat Perlis Hendaklah Benar-benar Memahami Pegangan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

19/11/2024 04:44 PM

KANGAR, 19 Nov (Bernama) -- Semua rakyat yang menetap dan bekerja di Perlis termasuk kepimpinan utama dan jentera pentadbiran kerajaan serta asatizah dan pemegang tauliah mengajar agama Islam di negeri itu hendaklah benar-benar memahami pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah hasrat itu adalah selaras dengan Amanat Kedua dalam Titah Tujuh Amanat yang telah dizahirkan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

"Amanat tersebut antara lain mengingatkan kita bahawa semua jentera pentadbiran di dalam negeri Perlis hendaklah berusaha mengukuh dan memperteguh pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang menjadi pegangan di dalam negeri Perlis.

"Hendaklah semua yang bertugas dan berada di dalam negeri Perlis diberikan kefahaman yang jelas tentang pegangan Perlis. Sama ada mereka ingin mengamalkan ataupun tidak secara peribadi, itu terpulang kepada setiap individu.

"Namun, mereka hendaklah diberikan kefahaman yang jelas tentang pegangan Perlis di dalam hal ehwal agama," titah baginda semasa berkenan menutup Simposium Guru Agama dan menyempurnakan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2024 di Dewan Warisan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah itulah sikap inklusif negeri Perlis dan Perlis tidak bersikap eksklusif yang mudah menyesatkan aliran berbeza malah Perlis sejak sebelum merdeka berusaha membawa Islam yang bersikap terbuka, luas horizon fikh serta mementingkan dalil dan fakta.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan, Industri Halal dan Penerangan Perlis Muhammad Azmir Azizan turut menerima tauliah mengajar pada hari ini.

Pada majlis penutup dan penganugerahan tauliah itu, Raja Muda Perlis turut berkenan melancarkan buku baharu terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis iaitu 'Mukadimah Kaedah Fiqhiyyah'.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan