BELANJAWAN 2025 > BERITA

Teknologi Nuklear Lonjak Pembangunan Sosioekonomi, Jana Nilai Eksport RM2.4 Bilion Pada 2030

13/11/2024 10:13 AM
From: Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

Apabila berbicara soal nuklear, yang terlintas di fikiran mungkin kebimbangan berulangnya malapetaka seperti ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki ketika Perang Dunia Kedua dan tragedi Chernobyl di Ukraine pada 1986.  

Akan tetapi, seiring peredaran masa dan kemajuan teknologi, masyarakat perlu mengikis stigma itu kerana telah terbukti teknologi nuklear membuka peluang dan memberi manfaat besar kepada bidang-bidang seperti pertanian, kesihatan dan perindustrian, yang seterusnya melonjakkan pembangunan sosioekonomi sesebuah negara.  

Di peringkat global, teknologi nuklear antara teknologi termaju utama yang diperakui pakar mampu memberi penyelesaian kepada isu sosioekonomi sesebuah negara.

Buktinya, Jepun bangkit daripada peristiwa Hiroshima dan Nagasaki untuk menjadi negara maju yang dilakukan mereka dengan memanfaatkan teknologi dan kuasa nuklear. Malah, mereka  juga menjadi antara negara rujukan bagi teknologi itu.

Sedar akan hal ini, Malaysia mengorak langkah  lebih aktif dalam penerokaan teknologi nuklear secara aman, dengan memperkenalkan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) yang antaranya bertujuan mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear.

Di bawah DTNN 2030, kerajaan menyasarkan eksport produk berkaitan teknologi nuklear tempatan meningkat kepada RM2.4 bilion pada 2030.

 

TEKNOLOGI NUKLEAR DALAM ENAM BIDANG UTAMA

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) Dr Rosli Darmawan berkata di bawah DTNN 2030, kerajaan mengenal pasti enam sektor fokus utama yang dapat dipertingkatkan lagi keupayaannya melalui penggunaan teknologi nuklear secara aman di negara ini.

Sektor berkenaan ialah perubatan dan penjagaan kesihatan; makanan dan pertanian; pembuatan peranti dan peralatan; pengurusan alam sekitar dan sumber asli; aplikasi perindustrian; serta keselamatan dan sekuriti nuklear.

pic-2

“DTNN mempunyai 19 program flagship (andal), 40 inisiatif andal dan 18 strategi. Jika semua program ini dilaksanakan, dijangka berlaku peningkatan pertumbuhan tahunan nilai eksport produk berkaitan teknologi nuklear tempatan berjumlah RM2.4 bilion pada 2030.

“Negara juga sasarkan 20 peratus peningkatan perkongsian awam swasta, peningkatan 10 peratus kerjasama antarabangsa dan 40 peratus peningkatan penggunaan teknologi nuklear dalam bidang khusus, seperti pendidikan, pertanian dan alam sekitar,” katanya kepada Bernama.

 

BERTAPAK DI MALAYSIA  LEBIH SEABAD

Beliau berkata Malaysia menerima manfaat teknologi nuklear secara aman sejak 1897 melalui pengenalan mesin sinar-X di hospital ketika era penjajahan British, dan penggunaan teknologi itu telah berkembang pesat di negara ini.

Katanya pada masa ini teknologi nuklear digunakan di negara ini dalam sektor makanan dan pertanian, alam sekitar, perubatan serta perindustrian yang terbukti memberi manfaat besar kepada negara.

“Teknologi nuklear dapat membantu menentusahkan ketulenan makanan atau dikenal pasti lokalitinya. Contohnya, teknologi ini boleh kesan sama ada mangga harum manis yang dijual berasal dari Perlis atau sebaliknya.

pic-3

“Dalam bidang alam sekitar pula, kita gunakan teknologi isotop untuk mengesan, misalnya punca air yang menyebabkan kejadian tanah runtuh serta punca pencemaran bekalan air, atau dengan kata lain, kita manfaatkan teknologi ini untuk lakukan forensik alam sekitar,” katanya.

 

SUMBER PENJANAAN ELEKTRIK

Rosli berkata penggunaan teknologi nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik memberi manfaat besar kepada negara kerana teknologi ini mudah diselia dan kosnya lebih menjimatkan. 

“Teknologi nuklear ialah alternatif terbaik bagi negara kerana lebih murah. Pada peringkat awal, kos operasi sedikit mahal, namun selepas kira-kira lima tahun beroperasi, kos dapat ditampung semula.

pic-4

“Teknologi ini mempunyai ketumpatan tinggi, bermaksud boleh menjana kuasa besar dengan kuantiti kecil, berbeza dengan arang batu yang perlu diganti setiap masa,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata Malaysia bercadang menggunakan tenaga nuklear sebagai satu daripada sumber penjanaan tenaga negara pada masa depan.

Menurut Rafizi, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah dipertanggungjawabkan membangun kerangka undang-undang dan peraturan bagi tujuan itu.

 

KONSEP 3S PASTIKAN TEKNOLOGI NUKLEAR SELAMAT

Mengulas tentang kebimbangan masyarakat terhadap teknologi nuklear, Rosli memberi jaminan bahawa penggunaan tenaga nuklear secara aman telah ditambah baik, selain tertakluk kepada pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa yang memastikan pematuhan kepada 3S, iaitu Safety, Security & Safeguards.

Di Malaysia, beliau berkata Nuklear Malaysia diberi tanggungjawab menjalankan penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi nuklear bagi pembangunan sosioekonomi negara serta pematuhan 3S dalam penggunaan teknologi itu. 

“Sebenarnya teknologi nuklear digunakan dalam kehidupan seharian, namun masyarakat tidak menyedarinya. Teknologi sinaran telah digunakan dalam bidang pertanian di Malaysia untuk menghasilkan tanaman atau varieti baharu yang tahan kemarau dan tahan penyakit seperti padi NMR152.

“Ini antara bukti bahawa teknologi nuklear memberi manfaat kepada negara,” katanya, menambah  teknologi itu turut digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 2022.

 

MALAYSIA DIKENALI DALAM EKOSISTEM NUKLEAR GLOBAL

Rosli berkata negara, melalui Nuklear Malaysia, kini boleh berbangga kerana semakin dikenali dalam ekosistem nuklear global apabila berjaya melahirkan lebih 5,000 pakar dalam bidang berkaitan, selain menjadikan rujukan negara luar.

Katanya Nuklear Malaysia juga memainkan peranan sebagai Pihak Berkuasa Kebangsaan dalam pelaksanaan Triti Pengharaman Menyeluruh Ujian Senjata Nuklear (CTBT), yang  bertujuan memastikan pematuhan Malaysia terhadap kewajipan antarabangsa di bawah CTBT.

“Kami mengendalikan stesen pemantauan radionuklid di Cameron Highlands dan Pusat Data Kebangsaan di Nuklear Malaysia.

“Pada peringkat permulaan penggunaan teknologi nuklear, Malaysia merupakan negara penerima teknologi, namun sekarang kita sudah diiktiraf sebagai antara donor countries, bermaksud Malaysia kini diiktiraf sebagai negara penyedia teknologi nuklear kepada negara luar,” katanya. 

 

KEMUDAHAN NUKLEAR MALAYSIA DIIKTIRAF

Rosli berkata penggunaan teknologi nuklear semakin berkembang, seiring dengan kemajuan pesat industri negara, menyaksikan Malaysia memiliki pelbagai kemudahan dan makmal berteraskan sains dan teknologi nuklear.

Malaysia juga mempunyai sebuah reaktor penyelidikan nuklear, iaitu Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP) yang beroperasi di Nuklear Malaysia sejak 1982.

Antara kemudahan lain ialah makmal keselamatan dan sekuriti nuklear, seperti Makmal Perlindungan Fizikal, Makmal Radiologikal Bergerak, Makmal Radiokimia dan Alam Sekitar, serta Makmal Kimia Analisis bagi menjamin penggunaan selamat teknologi nuklear.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang sebelum ini dilaporkan berkata kementeriannya sedang melaksanakan Kajian Teknikal Pelan Penggantian Reaktor TRIGA PUSPATI.

Menurut Chang, kajian berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi DTNN 2030, dan bertujuan memperkukuh pembangunan teknologi nuklear di Malaysia.

Menerusi inisiatif itu, negara diyakini dapat mengurangkan kebergantungan pada import pelbagai jenis radioisotop yang digunakan dalam sektor perubatan, industri, dan biosains, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pengetahuan saintifik serta inovasi berteknologi tinggi, kata Chang.

Pada tahun ini, Nuklear Malaysia menerima Anugerah Bionexus Partner Laboratories (BNP) bagi Makmal Farmaseutikal Bahagian Teknologi Perubatan agensi itu.

Selain itu, agensi berkenaan turut menerima dua pingat emas pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-35 dan satu pingat emas di Pameran Maya Pembangunan, Penyelidikan dan Inovasi Antarabangsa.  

"Harapan saya ialah agar masyarakat tidak takut dan berfikiran negatif terhadap teknologi nuklear. Umumnya, tenaga nuklear ini lebih bersih dan baik berbanding penggunaan arang batu yang melepaskan karbon dioksida," kata Rosli.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan