BELANJAWAN 2025 > BERITA

Wiki Impact: 20 Syarikat Teratas Bursa Derma RM381.81 Juta Pada 2023

13/11/2024 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Sebanyak 20 syarikat teratas Bursa Malaysia mendermakan RM381.81 juta secara tunai pada 2023, menurut  Laporan Wiki Impact “Bursa Top 20: Who’s The Most Charitable?”.

Dalam satu kenyataan, Wiki Impact berkata Tenaga Nasional Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan Telekom Malaysia Bhd merupakan antara penderma utama pada 2023.

Ia berkata pertumbuhan ketara sumbangan syarikat korporat dalam bentuk tunai itu meningkat tiga kali ganda berbanding RM129.25 juta pada 2022.

"Peningkatan ini mencerminkan pertumbuhan sumbangan derma korporat dan ketelusan pelaporan.  Nisbah purata tunai kepada keuntungan bersih naik kepada 0.82 peratus, meningkat berbanding 0.35 peratus pada tahun lepas," katanya. 

Wiki Impact melaporkan Tenaga Nasional, mendahului senarai penderma teratas, dengan nisbah tunai kepada keuntungan sebanyak 3.57 peratus berbanding 3.22 peratus tahun lepas.

Syarikat itu menyumbang sebanyak RM99 juta daripada RM2.77 bilion keuntungan bersihnya kepada pelbagai badan amal dan inisiatif sosial.

"Sime Darby, di tangga kedua, mencatat nisbah pemberian tunai kepada untung sebanyak 2.87 peratus, menyumbang RM56.75 juta daripada keuntungan bersih berjumlah RM1.98 bilion. 

"Telekom Malaysia pula di tempat ketiga, dengan nisbah tunai kepada keuntungan 2.05 peratus, menyumbang RM38.35 juta daripada RM1.87 bilion untung bersihnya kepada inisiatif amal," katanya.

Laporan itu menekankan bahawa pendidikan terus menjadi tumpuan utama dalam kalangan inisiatif korporat, dengan 38.27 peratus daripada jumlah sumbangan 20 syarikat itu didermakan untuk tujuan pendidikan. 

Dana ini menyokong program latihan, pembangunan kemahiran dan kemudahan pendidikan.

Sebanyak 17.25 peratus sumbangan korporat turut diberikan kepada inisiatif yang menyokong alam sekitar dengan syarikat itu melabur dalam usaha kemampanan seperti projek penanaman semula hutan dan pemuliharaan.

Sementara itu, pengasas bersama Wiki Impact Terence Ooi berkata syarikat yang meraih keuntungan bukan sahaja perlu melihat sumbangan amal korporat sebagai satu kewajipan, tetapi sebagai pelaburan pada masa hadapan dan tanggungjawab bagi mereka yang berkemampuan.

“Walaupun laporan ini menyerlahkan peningkatan momentum sumbangan amal korporat, dan muncul sebagai pemacu perubahan besar kepada masyarakat dan alam sekitar, kami berharap ia akan memberi inspirasi kepada lebih banyak syarikat untuk mengukuhkan komitmen mereka terhadap pemberian yang bertanggungjawab dan telus.

“Ia adalah penting dalam menangani isu-isu mendesak Malaysia seperti jurang pendidikan, pengangguran golongan belia, dan cabaran alam sekitar berikutan sumber daripada kerajaan dan bukan bersifat keuntungan kebiasaannya tidak mencukupi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan