Tatkala beberapa buah negeri diberi amaran akan berlaku hujan lebat sehingga 29 November ini, agak menghairankan apabila ada pakar air dan tenaga secara seriusnya menyoal apakah Malaysia akan berdepan dengan masalah menyediakan bekalan air untuk penduduknya.
Sejak kebelakangan ini, perbincangan demi perbincangan diadakan mengenai kebimbangan itu dalam ketika Malaysia mula muncul sebagai hab untuk pusat data yang dilaporkan banyak menggunakan tenaga.
Kemunculan Malaysia sebagai pemain utama adalah secara terancang - dengan Kecerdasan Buatan (AI) dan media sosial, keperluan pusat data melambung dan kerajaan Malaysia dengan pantas mengambil kesempatan daripada perkembangan ini. Syarikat besar teknologi, dengan Microsoft, Google dan Nvidia, antara lain, mengumumkan pelaburan berbilion dolar di negara ini untuk menempatkan pusat data mereka di samping bentuk lain teknologi digital.
Pusat data, yang mengumpul, menyimpan serta menyampaikan data menerusi perkhidmatan yang kita gunakan dari media sosial ke ChatGPT, menggunakan sejumlah besar kuasa elektrik untuk beroperasi. Bergantung kepada lokasi, haba yang dijana oleh pusat data berkenaan memerlukan sistem penyejukan, sama ada menggunakan lebih banyak tenaga untuk menjalankan sistem penyaman udara, atau ribuan gelen air.
Meskipun Malaysia mengalu-alukan pelaburan besar itu, para pakar namun bimbang tidak ada cukup langkah untuk melindungi air bagi kegunaan awam dan persekitaran.
pic-2
Pada Persidangan Sustainability Environment Asia 2024, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago menekankan betapa pentingnya membangunkan strategi jangka panjang untuk mengurus air serta memastikan akses yang saksama.
“Di negara-negara lain, pusat data mencetuskan konfrontasi dengan masyarakat setempat. Di Guatemala, berlaku kekecohan apabila masyarakat setempat menentang penggunaan pusat data dalam komuniti mereka kerana mereka tidak mempunyai air untuk minum,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaaan untuk menjalankan kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk pusat data dan fasiliti baru teknologi.
MENGAPA MALAYSIA?
Singapura menjadi tuan rumah kepada lebih banyak pusat data berbanding Malaysia, namun Malaysia mungkin akan mengatasi Republik itu sekiranya trend semasa berterusan. Pada masa ini, terdapat sebanyak 87 pusat data beroperasi di Malaysia, demikian menurut analisis pasaran laman sesawang Data Center Map.
Pelbagai laporan berita mengenai syarikat gergasi teknologi mahu menempatkan serta menjadi tuan rumah pusat data di Malaysia atas sebab - antaranya - infrastruktur serta tarif rendah elektrik di negara ini berbanding negara jiran Singapura dan Thailand. Kapasiti tenaga yang dirancang untuk pusat-pusat berkenaan ialah 1.6 gigawatt (GW), cukup untuk membekalkan bekalan elektrik bagi 750,000 hingga sejuta rumah, demikian menurut Indeks Pusat Data Global 2024, DC Byte.
Kenanga Investment Bank Research menganggarkan permintaan elektrik dari pusat data di Malaysia mungkin mencecah sejumlah 5 GW menjelang tahun 2035. Kapasiti pemasangan semasa Tenaga Nasional untuk Malaysia adalah sekitar 27 GW, demikian menurut laporan berita.
Satu lagi sebab untuk memilih Malaysia ialah kerana Singapura sudah mula mengurangkan kapasiti pertumbuhan pusat data akibat penggunaan tenaga dan air oleh pusat-pusat data berkenaan.
Para pemimpin industri turut menyebut tentang dasar kerajaan Malaysia yang menggalakkan, seperti insentif cukai dan subsidi di samping ruang industri untuk pusat-pusat berkenaan. Mempunyai akses kepada bekalan air yang banyak juga menjadi daya tarikan, memandangkan penggunaan sistem penyaman air di pusat-pusat data akan merendahkan pelepasan karbon dioksida.
Dengan permintaan AI yang semakin meningkat, begitulah juga permintaan untuk AI bagi membantunya beroperasi.
pic-3
Jumlah air yang digunakan untuk penyejukan bagi setiap aktiviti data di pusat-pusat data berkenaan adalah begitu tinggi. Dalam siri artikel oleh The Washington Post dan para penyelidik di University of California, Riverside, mereka mendapati bahawa setiap emel yang mengandungi 100 perkataan, ditulis oleh AI chatbot menggunakan GPT-4 membabitkan penggunaan 519ml air.
Menulis satu emel setiap minggu, dan jumlah penggunaan air meningkat kepada 27 liter, atau kira-kira tiga botol bekas air. Cuba darabkan dengan jumlah penduduk Malaysia, dan jumlah air yang diperlukan boleh memenuhi sekitar 350 juta kolam renang bersaiz Olimpik.
“Para penyelidik di University of California mencadangkan bagi setiap 20 hingga 50 soalan yang dijawab oleh ChatGPT, ia menggunakan atau saya boleh katakan menelan anggaran 500 mililiter air bersih. Jadi apabila anda mahu menggunakan ChatGPT, anda perlu, banyak-banyak kali berfikir,” kata Santiago.
SITUASI SUMBER AIR
Seperti disebut oleh beberapa pakar, pergantungan kepada air mencetuskan risiko yakni menyusutkan sumber air di sesebuah kawasan, terutama dengan ancaman perubahan iklim.
Meskipun Malaysia belum lagi berada di tahap bahaya kekeringan sumber airnya, negara ini bukanlah kebal daripada kemarau.
Pada tahun ini, negara ini mengalami cuaca melampau, dengan fenomena El Nino mencetuskan gelombang haba serta kemarau di beberapa kawasan pada bahagian pertama tahun ini. Sementara itu La Nina pula dijangka menyebabkan hujan yang lebih lebat sehingga awal tahun depan (2025).
pic-4
Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA) Dr Mohmad Asari Daud memberitahu Bernama bahawa Malaysia mempunyai bekalan air yang banyak dengan sesetengah tangki simpanan menyimpan air yang mencukupi untuk keperluan selama 100 hari. Beliau turut menambah, masih ada ruang untuk penambahbaikan.
“Setakat ini, kita ada banyak air, (tetapi) kita juga ada banyak tangki simpanan yang tidak diurus.
“Bagi saya cabarannya ialah untuk semua negeri merangka tangki simpanan luar sungai atau bersebelahan sungai - yang dapat melengkapkan sumber air yang lain, apabila berlaku musim kemarau yang panjang, ” katanya menambah, juga memikirkan cara untuk menyimpan semua lebihan air sewaktu musim banjir untuk digunakan sewaktu musim kemarau.
Penyelidik Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS) Zayana Zaikariah membuatkan kajian terhadap pusat data dan penggunaan air di Johor yang mana terdapat banyak pusat berkenaan. Menurut beliau berdasarkan angka tahun 2022, simpanan air adalah mencukupi untuk menyediakan keperluan bagi industri berkenaan dan orang ramai, buat masa ini.
“(Kalau saya tak silap), kita ada kira-kira 11.5 peratus simpanan air. Saya fikir berdasarkan kiraan yang kami buat dan berdasarkan semua andaian lain, hanya terdapat peningkatan sekitar lima peratus. Namun, jika itulah keadaannya, saya berpandangan dengan mengambil kira rizab air, bekalan air adalah mencukupi,” katanya menerusi Zoom.
Beliau menambah, pihak berkuasa Johor juga merancang untuk menambah rizab air mereka sebanyak 25 peratus pada tahun 2029. Berkemungkinan secara kebetulan, Kulai yang menjadi tuan rumah kepada beberapa pusat data mengalami kekurangan air sewaktu Hari Raya Aidilfitri pada April tahun ini.
pic-5
Selain daripada itu, berlaku kekurangan infrastruktur air, seperti paip khusus dan loji rawatan air untuk memberi perkhidmatan kepada pusat data. Pusat data dan semikonduktor memerlukan air terawat untuk menyejukkan sistem mereka, memandangkan kekotoran dalam air boleh, antaranya boleh menyebabkan berlakunya kakisan, pertumbuhan biologikal serta isu lain, yang boleh mengurangkan kecekapan dan jangka hayat peralatan.
Asari dari MWA berkata, banyak pengendali dan syarikat infrastruktur air teragak-agak untuk memasang paip dan simpanan bagi memenuhi keperluan air pusat data, kerana bimbang pusat data mereka tidak akan beroperasi di Malaysia untuk jangka panjang.
“Memang ada kebimbangan, permintaan hanya untuk jangka pendek berbanding pelaburan jutaan dolar,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata ada jalan penyelesaian iaitu dengan menjadikan keperluan untuk syarikat melabur dalam infrastruktur air. Dengan cara itu, syarikat berkenaan perlu beroperasi lebih lama di negara sehingga mereka memperolehi semula pelaburan mereka yang mungkin berjuta atau berbilion dolar.
PELBAGAI KEBIMBANGAN
Bagaimana penggunaan tenaga serta air yang tinggi menjejaskan alam sekitar tentunya perkara serius yang perlu diberi perhatian. Pakar alam sekitar bimbang kerajaan mengorbankan sumber alam semula jadi semata-mata mahu menjadi kuasa data di rantau ini.
Syarikat besar teknologi sering berikrar untuk menjadikan pusat data mereka ‘lebih hijau’ dengan menggunakan kaedah penyejukan baharu.
Setakat ini, banyak sasaran mereka yang belum dicapai.
Dengan dipandu oleh AI dan pusat data, gergasi teknologi melaporkan pelepasan karbon mereka meningkat tahun ini. Pelepasan karbon oleh Google sebagai contoh, meningkat sebanyak 48 peratus. Ia juga gagal mencapai sasaran 2030 iaitu mengganti semula 120 peratus air yang digunakan, dan hanya mencapai penggantian sebanyak 18 peratus.
Pelepasan karbon oleh Microsoft pula meningkat sebanyak 30 peratus sejak tahun 2020 daripada pusat data pembinaannya. Kedua-dua syarikat menyatakan matlamat untuk menjadi berkecuali-karbon atau negatif-karbon menjelang tahun 2030.
Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Mohd Yusaimi Md Yusof memberitahu Bernama menerusi WhatsApp, beliau bimbang pihak pengawal selia tidak akan tegas mengambil tindakan terhadap syarikat trilion dolar itu.
“(Dan) ada kalanya kita sudah ada undang-undang yang diperlukan tetapi pemantauan dan penguatkuasaan tidak berapa baik. Ada kala juga mahkamah tidak berpihak kepada alam sekitar,” katanya, sambil merujuk kepada satu kes yang baru dilaporkan mengenai pencemar sungai dijatuhi hukuman ringan selepas membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan.
Penguatkuasaan untuk air tidak sebagus seperti diharapkan dengan beberapa kejadian pencemaran berlaku membabitkan sumber air dan sungai. Lembah Klang, sebagai contoh, mengalami beberapa gangguan bekalan air akibat pelepasan efluen haram ke dalam sungai, iaitu sumber air. Asari dari MWA berkata pelepasan berkenaan menyebabkan perkhidmatan air digantung untuk membolehkan kerja-kerja pembersihan dibuat supaya air boleh dibekalkan semula. Meskipun ada beberapa pencemar ditahan dan diperintah membayar ganti rugi, banyak yang lepas.
Sehubungan dengan itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melaksanakan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP), yang berkehendakkan 33,000 industri mendaftar untuk mendapatkan lesen untuk pelepasan air. Dasar berkenaan memerlukan perniagaan membayar yuran untuk pelepasan air, sebagai cara untuk menggalakkan mereka mengitar semula air.
"Melalui pendekatan ZDP, sumber air selepas ini tidak lagi dilihat sebagai suatu medium yang menjadi tempat untuk melupuskan sisa yang tidak diingini," menurut LUAS.
Para pakar berkata ia juga satu cara untuk mewujudkan pangkalan data pelepasan dan efluen, dikaitkan dengan syarikat-syarikat tertentu yang memudahkan untuk mencari pencemar.
Kedua-dua Zayana dan Santiago berkata, Malaysia perlu membuat penilaian iklim dengan pelbagai senario ‘seandainya’.
pic-6
Menurut Santiago, laporan spekulatif EIA meliputi 10 hingga 15 tahun pada masa depan mungkin mampu menyediakan Malaysia untuk menghadapi sebarang keadaan yang tidak diingini dan mengenal pasti sebarang masalah berpotensi kepada kesihatan, keamanan dan kesejahteraan hidupan liar serta komuniti.
Pihak berkuasa air Malaysia, katanya, perlu menjadikan satu keperluan bagi pusat data membuat penuaian air hujan dan mengitar semula air sisa, di samping menyertakan sama masyarakat setempat dalam perancangan dan pembinaan pusat data.
“Anda tak tahu bila kemarau akan berlaku, anda tak tahu bila banjir akan berlaku. Anda mungkin tak tahu bagaimana keadaan ini berlaku.
“Bagi saya, apabila anda berjanji, anda perlu yakin 100 peratus kerana ia melibatkan banyak pelaburan, sehingga berbilion dolar. Jangan selepas tiga tahun, anda baru sedar, ianya satu kesilapan. Anda mesti tak mahu perkara itu berlaku, ” katanya.
Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial