BELANJAWAN 2025 > BERITA

JPKKP Mukim Dusun Mahu Ternak Lebih 100,000 Benih Ikan Keli Tahun Depan

13/11/2024 08:28 PM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

KOTA BHARU, 13 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Dusun di sini mahu menternak lebih 100,000 benih ikan keli pada tahun depan bagi menjana pendapatan sampingan ekonomi penduduk setempat.

Pengerusinya Datin Norizam Ibrahim berkata projek penternakan ikan keli sangkar ini bermula pada Ogos lepas menerusi Program Sejati MADANI dengan melibatkan seramai 16 peserta dari mukim berkenaan.

Beliau berkata ketika ini sebanyak 80,000 benih ikan keli telah dimasukkan di dalam 16 petak sangkar dengan setiap sangkar mempunyai 5,000 benih ikan keli yang berkeluasan masing-masing 10 kaki panjang dan lebar.

"Alhamdulillah, projek ini menampakkan hasil cukup baik terutama kepada para peserta kerana mereka bukan sahaja dapat menimba ilmu kemahiran cara menternak ikan keli malah dapat menjana pendapatan sampingan dengan menjual hasil yang diperoleh di pasar dan program Jualan Rahmah sekitar Kota Bharu.

"Kita nampak ternak ikan keli ini macam mudah tapi sebenarnya ada caranya selain beri makan sebagai contoh ketika usia mencecah dua atau tiga minggu, kita akan asingkan saiz yang besar dan kecil untuk pastikan ikan itu dapat capai berat dikehendaki," katanya kepada Bernama di Mukim Dusun di sini hari ini.

Penyelia projek, Azizil Azhar Abdullah berkata setiap peserta turut mendapat bimbingan dari segi pengurusan ternakan dan mempromosikan hasil jualan untuk menembusi pasaran tempatan.

"Kami memang tak menang tangan untuk ternak ikan keli sangkar kerana permintaannya terlalu tinggi di pasaran dan untuk mengatasi masalah ini kami bercadang mahu tambah bilangan petak sangkar supaya lebih banyak lagi ikan keli dapat dihasilkan pada masa akan datang.

"Cuma masalah kita sekarang ini serangan haiwan iaitu memerang yang sering ganggu habitat ikan keli di dalam sangkar sehingga ada yang mati dan menyebabkan kami kerugian," katanya. 

Sementara itu, peserta penternakan berkenaan Mohd hassin Che Kar, 57, berkata projek yang diusahakan kerajaan ini banyak memberikan manfaat kepada peserta untuk menjana pendapatan serta membantu membangunkan ekonomi penduduk setempat.

"Bagi saya program sebegini harus diteruskan dan diperluas ke kawasan lain supaya komuniti setempat bukan sahaja dapat belajar ilmu menternak haiwan dan sebagainya malah dapat  mengisi masa lapang serta bijak menggunakan peluang ekonomi diberikan kerajaan untuk mengubah nasib diri dan keluarga," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan