BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jasa Tun Daim Dalam Pemulihan Th Dikenang Selamanya

14/11/2024 05:16 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Jasa Allahyarham Tun Daim Zainuddin khususnya yang berkaitan pemulihan Tabung Haji (TH) akan dikenang selamanya, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid berkata Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan atau Council of Eminient Person's (CEP) yang ditubuhkan pada 12 Mei 2018 dengan salah satu misi besarnya adalah pemulihan TH yang ketika itu mengalami defisit RM4 bilion dan terus membengkak kepada RM10 bilion pada penghujung 2018.

"Antara dapatan awal majlis penasihat ini adalah terdapatnya kelakuan salah tadbir dan pembelian dana penjualan saham yang meragukan sehingga TH mengalami kerugian. Ini termasuk isu tatakelola yang culas dan tidak menepati piawaian perakaunan," kata Timbalan Presiden Amanah itu menerusi kenyataan hari ini.

Mujahid yang juga Ahli Dewan Negara berkata jawatankuasa itu melantik bekas Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Tan Sri Mohammed Nor Md Yusof sebagai Pengerusi TH baharu manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings Bhd Datuk Seri Zukri Samat dilantik Ketua Pegawai Eksekutif. 

Sebagai menteri yang menjaga portfolio agama masa itu, Mujahid berkata misi pemulihan TH diserahkan kepadanya sebagai menteri bertanggungjawab untuk dilaksanakan. 

"Jasa Tun Daim sebagai Pengerusi Penasihat Kerajaan PH 1.0 terkhusus melihat pemulihan TH akan dikenang selamanya. Bermula dari sinilah kerangka penstrukturan semula TH digerakkan 2018-2020 dan Alhamdulillah, sehingga kini TH berada pada landasannya yang tepat untuk memacu cabaran mendatang," katanya. 

Allahyarham Tun Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, meninggal dunia pada 8.21 pagi semalam di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, Selangor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 di sini petang hari yang sama.

Daim memegang jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991 dan kali kedua pada 1999 - 2001.

CEP dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan selain Daim, anggota lain ialah bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif  Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican dan pakar ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram. 

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan