BELANJAWAN 2025 > BERITA

Semua Pihak Diseru Terus Sokong Usaha PM Anwar Singkir Israel Daripada PBB

16/11/2024 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Semua pihak perlu terus menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa konsensus bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tidak menjadikan retorik politik sempit hingga tidak dapat membezakan laras bahasa digunakan pemimpin itu di platform antarabangsa.

Ahli Dewan Negara Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata sebagai Perdana Menteri, kenyataan Anwar akan dijadikan pendirian rasmi di peringkat antarabangsa, menjadikan beliau berhati-hati menyusun laras bahasa diplomasi semasa ditanya mengenai pendiriannya berhubung kedudukan Israel. 

Malaysia, tegas Mujahid tidak pernah mengiktiraf dan tiada sebarang hubungan diplomatik dengan Israel selain fakta membuktikan negara tegas serta konsisten dalam mempertahankan hak Palestin termasuk mengutuk perbuatan genosid berterusan di Gaza. 

"Suara Perdana Menteri adalah antara pemimpin dunia yang paling lantang membela nasib Palestin, malah peluang lawatannya ke Arab Saudi dan Mesir digunakan untuk melobi negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya Israel disingkirkan daripada keanggotaan PBB atas jenayah genosid yang telah diputuskan kesalahannya oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa baru-baru ini.

"Menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB adalah usaha Malaysia kepada masyarakat antarabangsa bagi mendedahkan jenayah genosid Israel, namun soal kewujudan negara Israel dalam bahasa diplomasi antarabangsa adalah soal hak bernegara masing-masing," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Mujahid yang juga Timbalan Presiden Amanah berkata dalam Malaysia mengutuk kekejaman Israel  terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa namun bukan hak Malaysia secara moralnya untuk menggesa pembunuhan sama dilakukan terhadap rakyat Israel. 

Sebaliknya, beliau berkata ia merupakan soal hak pejuang Palestin untuk mempertahankan bumi mereka daripada dirampas dan dijajah oleh tentera zionis Israel.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan