BELANJAWAN 2025 > BERITA

Keuntungan Bersih Suku Ketiga MR D.I.Y. Susut Kepada RM121.64 Juta

14/11/2024 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- MR D.I.Y. Group (M) Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah kepada RM121.64 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2024 daripada RM123.94 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, kumpulan itu berkata perolehan hasilnya bagaimanapun naik 6.4 peratus kepada RM1.13 bilion berbanding RM1.06 bilion bagi tempoh sama sebelumnya, dipacu oleh jumlah urus niaga lebih tinggi serta sumbangan daripada premis-premis baharu.

“Ini diimbangi sebahagiannya susulan penurunan pertumbuhan jualan yang memaparkan kekangan perbelanjaan isi rumah serta kelemahan sentimen pengguna dalam tempoh di bawah kajian.

“Bagi tempoh sama, kumpulan membuka sebanyak 49 premis baharu atau bersamaan pertumbuhan 15.0 peratus tahun ke tahun dengan 1,389 premis setakat akhir September 2024.

“Jumlah urus niaga meningkat 9.0 peratus tahun ke tahun kepada 45.3 juta seiring dengan peningkatan bilangan premis," katanya.

Kumpulan itu berkata bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir pada 30 Sept, 2024, keuntungan bersihnya meningkat kepada RM421.73 juta daripada RM402.04 juta setahun sebelumnya manakala hasil menokok kepada RM3.47 bilion daripada RM3.21 bilion sebelum ini.

Mengulas prospek, kumpulan itu menyatakan komitmen untuk merealisasikan nilai serta pertumbuhan mampan jangka panjang kepada pihak berkepentingan menerusi strategi pengembangan premis, rangkaian dagangan yang dipertingkatkan serta peningkatan kecekapan operasi.

“Rancangan pertumbuhan kumpulan bagi 2025 adalah untuk membuka 190 premis baharu merentasi jenama teras, termasuk KKV yang diunjur memacu pertumbuhan hasil dan keuntungan yang berterusan.

“Pelaburan kumpulan dalam rangkaian runcit KKV hanya melengkapkan lagi tawaran semasa dan dijangka meningkatkan keuntungan secara menyeluruh," katanya.

Kumpulan itu telah mengumumkan dividen interim tunggal satu sen bagi sesaham biasa berjumlah RM94.5 juta untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Dis, 2024, yang dibayar pada 13 Dis, 2024.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MR. D.I.Y. Adrian Ong berkata pembayaran dividen itu membuktikan komitmen kumpulan dalam menghargai pemegang saham setia dengan pulangan yang konsisten serta mampan.

“Bayaran lebih tinggi yang melebihi sasaran awal 50-65 peratus itu hanya menekankan kekuatan asas serta daya tahan perniagaan kami serta keyakinan terhadap pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan