KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad akan melaksanakan Dasar Kelestarian baharu yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar di 29 hospitalnya dengan tumpuan kepada mengurangkan impak alam sekitar melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, pengurusan sisa dan piawaian bangunan hijau.
Dasar tersebut yang selaras dengan matlamat negara dalam mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, dilancarkan sempena Hari Kelestarian KPJ sebagai usaha mengukuhkan komitmennya terhadap penjagaan kesihatan hijau.
Bagi menyokong usaha itu, Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) menjadi hospital pertama dalam rangkaian KPJ menerima pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) iaitu pengiktirafan sebagai hospital bertaraf tinggi dalam kecekapan tenaga, perancangan tapak yang lestari dan kualiti persekitaran dalaman.
Pengerusi KPJ Healthcare Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata dasar baharu yang dilancarkan itu menggalakkan amalan lebih bertanggungjawab dalam setiap aspek operasi penjagaan kesihatan, mengurangkan impak kepada alam sekitar serta mengekalkan piawaian tinggi dalam penjagaan kesihatan.
“Melalui penarafan GBI yang diberikan kepada DSH2, kita telah meletakkan satu piawaian bagi tanggungjawab terhadap alam sekitar dan mencerminkan komitmen kita kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata dasar tersebut akan menjadi rujukan kepada pihaknya berhubung penggunaan tenaga boleh diperbaharui, strategi pengurusan sisa dan piawaian bangunan hijau di seluruh hospital kumpulan perubatan itu.
“Dalam usaha ini, KPJ Healthcare memainkan peranan peranan penting untuk mengukuhkan komitmen ke arah masa depan lebih sihat bagi pesakit mahupun bumi ini,” katanya.
KPJ Healthcare akan terus memperkukuhkan amalan kelestariannya menerusi dasar berkenaan yang menjadi penanda aras baharu dalam penjagaan kesihatan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Kumpulan perubatan itu juga menyasarkan untuk mewujudkan model penjagaan kesihatan yang mengutamakan penjagaan pesakit dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Mempunyai lebih 1,300 perunding perubatan, KPJ Healthcare merawat lebih 3.3 juta pesakit setahun dengan 19 daripada hospitalnya mendapat akreditasi daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) manakala empat lagi mendapat akreditasi Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial