BELANJAWAN 2025 > BERITA

11,397 Tandas Dinaik Taraf Dalam Tempoh Dua Tahun - Nga

14/11/2024 11:56 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menaik taraf 11,397 tandas awam pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam tempoh dua tahun pentadbirannya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata usaha yang melibatkan kos RM800 juta itu adalah komitmen kerajaan dalam memupuk kesedaran sivik dan menerapkan budaya menjaga kebersihan selain sebagai persiapan menuju Kepengerusian ASEAN 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam pada itu, beliau berkata KPKT juga sedang mengorak langkah menaik taraf 16 tandas awam PBT bersih, menawan dan wangi (BMW) kepada tandas bertaraf pintar yang dikenali sebagai Tandas BMW-i, seiring dengan perkembangan teknologi dalam industri tandas.

"Antara ciri-ciri Tandas BMW-i adalah bidet automatik built-in dengan mangkuk tandas, mesin cuci lantai automatik, pintu automatik untuk tandas orang kurang upaya (OKU) serta alat maklum balas pelanggan automatik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Toilet of the Year Award (TOTYA) 2024 di sini malam ini.

Beliau berkata peruntukan tambahan RM4 juta turut disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya untuk projek rintis pembinaan Tandas BMW-i di Jalan Alor dan Jalan Petaling (Kuala Lumpur) serta Dataran Masjid dan Anjung Flora ( Putrajaya) dengan masing-masing menerima RM1 juta.

Mengenai TOTYA 2024, Nga berkata jumlah penyertaan tahun ini meningkat 82 peratus iaitu 625 berbanding 345 pada tahun lepas sekali gus menunjukkan inisiatif Tandas Awam BMW mendapat sambutan menggalakkan daripada semua pihak.

"Kategori yang dipertandingkan termasuk pusat beli-belah dengan 47 penyertaan, hotel (43), restoran (44), kawasan rehat dan rawat (R&R) (22 ) serta stesen minyak (237) manakala kategori rumah ibadat akan diperkenalkan bermula tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata TOTYA juga telah diluluskan oleh Jemaah Menteri sebagai acara rasmi tahunan bagi menunjukkan kepentingan menjaga kebersihan sebagai usaha kolektif.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan