BELANJAWAN 2025 > BERITA

JSPT Serius Tangani Kemalangan Libatkan Kenderaan Perdagangan

15/11/2024 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan mempertingkatkan penguatkuasaan, selain bersikap tegas dan tidak berkompromi terhadap semua kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya di seluruh negara.

Pengarah JSPT Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sebanyak 168 kes kemalangan termasuk 97 maut, 32 parah dan 39 ringan bagi kenderaan perdagangan, manakala 16 kes melibatkan kenderaan perkhidmatan direkodkan sepanjang Januari hingga September tahun ini.

“Dalam tempoh berkenaan, JSPT telah melaksanakan Op Perdagangan melibatkan 4,822 operasi serta mengeluarkan 38,367 saman dan menyita 177 kenderaan pelbagai jenis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara kesalahan utama yang dikesan adalah membawa muatan berbahaya, ketiadaan segi tiga kecemasan, tayar tidak berbunga, lampu isyarat dan brek yang tidak berfungsi serta muatan yang tidak diikat dengan kemas.

“Lori kecil, treler dan lori kontena merupakan penyumbang tertinggi bagi kes-kes kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan bagi tempoh itu,” katanya.

Mohd Yusri menasihati pengusaha kenderaan perdagangan untuk mematuhi penyelenggaraan berkala selain memastikan tahap kesihatan dan kemahiran pemandu berada dalam keadaan terbaik.

“Pengguna kenderaan digesa mematuhi undang-undang dan mengamalkan pemanduan berhemah untuk mengelakkan sebarang kemalangan demi keselamatan bersama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan