GOPENG, 15 Nov (Bernama) -- Dua lelaki dan seorang wanita ditemukan lemas di Sungai Kampar di sini selepas dibawa arus deras akibat hujan lebat ketika melakukan aktiviti 'water rafting’ petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata seorang mangsa lelaki dan wanita dinaikkan ke tebing sungai oleh orang awam di Rock Garden dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Seorang lagi mangsa ditemukan di River Bug Gopeng dan turut disahkan meninggal dunia. Difahamkan ketiga-tiga mangsa sedang mengikuti program team building yang diadakan di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sayani berkata terdapat 22 peserta daripada Jabatan Kerja Raya Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang dan Langkawi serta enam pemandu peserta yang turun ke sungai bermula pada 3.30 petang tadi.
Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.56 petang sebelum 10 anggota bersama satu jentera digerakkan ke lokasi mangsa ditemukan iaitu di Jalan Kampung Pintu Padang Rock Garden Camping Gopeng dan River Park Gopeng.
“Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan lanjut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial