BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jabatan Perikanan Rekod Lebih 800 Tangkapan Bot Nelayan Tempatan

16/11/2024 01:17 PM

KUALA TERENGGANU, 16 Nov (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) merekodkan 826 kes tangkapan melibatkan bot dan kapal nelayan tempatan bermula 1 Jan hingga 30 Okt tahun ini.

Ketua Pengarah DOF Datuk Adnan Hussain berkata tangkapan berkenaan dibuat mengikut 19 kategori kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata antaranya melibatkan sitaan pukat dan vesel, pencerobohan zon tangkapan dan pelanggaran syarat lesen.

“Tangkapan dibuat bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) di seluruh perairan negara. Sebanyak 220 kompaun bernilai RM565,000 telah dikeluarkan manakala sitaan pula melibatkan 470 kes. 

“DOF memandang serius isu ini dan akan terus bekerjasama dengan agensi lain bagi mengekang pencerobohan serta melindungi mata pencarian nelayan tempatan,” katanya pada Majlis Penyerahan 10 bot Peronda Laju Baharu DOF di Pulau Kambing di sini hari ini.

Adnan berkata 10 bot peronda bernilai RM15 juta berkenaan akan diagihkan ke enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Johor dan Kelantan untuk meningkatkan keupayaan pemantauan serta pengawasan di perairan negara.

Beliau berkata bot yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan elektronik canggih berkenaan adalah tambahan kepada 86 aset sedia ada bagi menjaga perairan negara seluas 600,000 kilometer persegi.

“Kita juga berharap agar kes pencerobohan nelayan asing dapat diatasi kerana ia isu serius yang menjejaskan kelestarian sumber daya perikanan tempatan, mata pencarian nelayan tempatan serta kerugian hasil pada negara.

“Mengikut rekod DOF, pencerobohan bot dan kapal nelayan asing bagi tempoh 2020 hingga 2023 adalah sebanyak 428 kes dengan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM823.88 juta,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan