BELANJAWAN 2025 > BERITA

UniKL Perkenal Program ODL, Sasar Golongan Bekerja

16/11/2024 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memperkenalkan program pembelajaran terbuka dan secara jarak jauh (ODL) yang akan memudahkan akses pendidikan secara fleksibel dan praktikal, terutama untuk golongan bekerja. 

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata Program Sarjana ODL yang ditawarkan sejak Oktober 2024 itu bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai individu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Program ODL UniKL ini menawarkan pengajian 100 peratus secara pengkomputeran digital.

“Program ODL pertama yang ditawarkan ialah Sarjana dalam Sains Komputer di UniKL Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) dan lebih banyak program sarjana secara ODL akan ditawarkan menjelang 2025 nanti,” katanya ketika berucap di Majlis Konvokesyen UniKL ke-21 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Rubiah berkata ia sekali gus menjadikan pendidikan lebih mudah diakses khususnya kepada 18.3 juta golongan berkerjaya yang mengikuti pengajian secara kendiri.

Seterusnya beliau berkata UniKL memainkan peranan besar dalam menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama generasi muda dan ibu bapa masa kini.

“Pencapaian TVET sepanjang dua hingga tiga tahun kebelakangan ini amat ketara, khususnya dengan peranan aktif UniKL di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Apa yang membanggakan, UniKL juga telah menjadi satu universiti teknikal yang mendapat sambutan daripada pelajar-pelajar. Tahun ini, khasnya dari sudut pengambilan, kita telah berjaya meningkatkan sebanyak 147 peratus kemasukan pelajar,” katanya. 

Beliau berkata UniKL juga sangat aktif dalam menjalin kolaborasi strategik dengan universiti dan institusi antarabangsa yang lain dalam usaha membuka peluang luas kepada pelajar dan tenaga pengajar untuk meningkatkan kemahiran teknikal, di samping menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir bagi keperluan industri.

Rubiah berkata UniKL terus mengekalkan kadar kebolehpasaran graduannya yang tinggi sebanyak 97.5 peratus pada 2023, sekali gus membuktikan kualiti TVET.

Konvokesyen yang berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 Nov 2024 itu menyaksikan seramai 6,602 graduan menerima ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil profesional dalam pelbagai bidang termasuk teknologi kejuruteraan, perniagaan, teknologi maklumat dan sains kesihatan.

Tahun ini, graduan Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kepujian), UniKL Malaysian Institute of Medical Science Technology (UniKL MESTECH) Mohamad Solehin Zulkarnain terpilih sebagai penerima Anugerah Canselor.

Anugerah Khas Ulul Albab pula dianugerahkan kepada Muaz Md Akhir Al-Hafiz dari program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Marin dengan Kepujian, UniKL Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan