BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lapangan Terbang Di Sarawak Daftar Hampir Lapan Juta Penumpang Pada Suku Ketiga 2024

18/11/2024 08:54 PM

KUCHING, 18 Nov (Bernama) -- Lapangan terbang serta lapangan terbang berlepas dan mendarat jarak pendek (STOLports) di Sarawak mencatatkan 95,441 pergerakan pesawat yang membawa 7.56 juta penumpang setakat suku ketiga tahun ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata sebanyak 42,381 tan barang turut dihantar sebagai kargo udara sepanjang tempoh tersebut termasuk peralatan elektronik, peralatan minyak dan gas, produk e-dagang, tekstil serta barangan mudah rosak seperti buah-buahan dan bunga.

"Pada 2024, Sarawak menerima purata 406 penerbangan setiap minggu dari negeri-negeri lain di Malaysia ke negeri itu termasuk wilayah-wilayah persekutuan berbanding 373 penerbangan setiap minggu tahun lalu," kata beliau ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Menurut Lee, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kekal sebagai paling sibuk dengan menerima 211 penerbangan setiap minggu diikuti Miri (86 penerbangan), Sibu (60 penerbangan) dan Bintulu sebanyak 37 penerbangan.

"Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) baru-baru ini meluluskan laluan penerbangan domestik baharu antara Kuching dan Ipoh, Perak untuk AirAsia Bhd.

"Bagaimanapun, tarikh permulaan operasi masih belum ditentukan oleh syarikat penerbangan tersebut," katanya.

Lee berkata negeri ini juga mencatatkan pertumbuhan dalam penerbangan antarabangsa dengan 37 ketibaan antarabangsa setiap minggu menjelang November 2024 berbanding 33 penerbangan pada suku pertama tahun ini.

Beliau berkata ini disebabkan oleh peluasan penerbangan syarikat penerbangan tanpa sebarang kemudahan, Scoot dari Singapura ke Sibu dan Miri pada Jun 2024, masing-masing dengan purata tiga penerbangan dan empat penerbangan setiap minggu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan