BELANJAWAN 2025 > BERITA

UniKL Bakal Jalin Kerjasama Dengan Universiti Di UAE Wujudkan Fakulti AI

19/11/2024 01:13 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

DUBAI, 19 Nov (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bakal bekerjasama dengan Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mewujudkan sebuah fakulti kecerdasan buatan (AI) di universiti berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jalinan kerjasama itu membolehkan Malaysia memanfaatkan pengalaman UAE dalam meneroka cabang teknologi tersebut.

Beliau berkata kolaborasi itu juga bertepatan dengan reputasi Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence sebagai universiti AI pertama di dunia. 

“Apa yang telah dipersetujui, Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence ini akan jalin hubungan dengan UniKL di bawah MARA dan kita telah mengesahkan sebuah fakulti (AI) diwujudkan di UniKL.

"Ini satu pendekatan baharu kerana kita perlu belajar AI ini daripada universiti yang telah melakukan sistem pendidikan AI yang terawal,” katanya pada majlis makan malam bersama lebih 200 diaspora Malaysia di sini pada Isnin sempena lawatan kerja tujuh hari ke UAE yang berakhir hari ini.

Selain UniKL, tiga lagi universiti tempatan yang akan mewujudkan fakulti AI ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata lebih 6,000 warga Malaysia yang menetap di negara ini amat dikagumi oleh kerajaan dan rakyat UAE.

Ahmad Zahid berkata menerusi maklum balas diterima daripada kerajaan UAE, rakyat Malaysia yang menetap di sini rata-ratanya sangat berdisplin, selain banyak membantu menyumbang kepada projek pembangunan pembinaan infrastruktur negara berkenaan.

Beliau berkata pengiktirafan itu menjadi cerminan kepada keunggulan sistem pendidikan negara yang berjaya menghasilkan ramai tenaga profesional dan usahawan yang berkebolehan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan