BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perak Sedia Bantu Veteran ATM Mulakan Perniagaan

19/11/2024 04:35 PM

IPOH, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak bersedia membantu dari segi bantuan peralatan dan kewangan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mahu menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed berkata sebagai contoh bantuan yang disediakan untuk memulakan perniagaan makanan adalah seperti kerusi, meja, barangan elektrik serta barangan keperluan asas.

"Kita juga membuka tawaran kepada veteran ATM untuk mendapatkan pelbagai bentuk bantuan, antaranya geran perniagaan daripada agensi kerajaan seperti Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) atau mereka memerlukan apa sahaja latihan kemahiran dengan agensi sedia ada," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera (PERHEBAT) kepada 150 veteran ATM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Salbiah berkata veteran ATM perlu merebut pelbagai peluang pekerjaan menerusi projek pembangunan yang akan dilaksanakan di negeri ini, antaranya Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim serta Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengajian Keusahawanan PERHEBAT Kamarul Zaman Khalid dalam ucapannya berkata PERHEBAT sedang melaksanakan beberapa inisiatif dengan kolaborasi bersama pelbagai pihak seperti Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM), dana pembiayaan kewangan bersama Agrobank dan Program Usahawantani Putra-PERHEBAT dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Sebagai sebuah organisasi latihan yang berorientasikan kepada pembangunan kemahiran untuk kelangsungan hidup seseorang anggota selepas menamatkan perkhidmatan, PERHEBAT sentiasa sensitif dan responsif terhadap pelbagai inisiatif dan peluang kerjaya yang sentiasa memenuhi kehendak pasaran. 

"Oleh yang demikian, PERHEBAT sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pemain industri di negeri ini untuk sama-sama mewujudkan peluang yang akhirnya membawa kepada kesejahteraan bersama," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan