BELANJAWAN 2025 > BERITA

TVET Kunci Keluar Dari Kemiskinan

19/11/2024 06:25 PM

PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Seorang pakar pendidikan menggesa supaya usaha menyeluruh diadakan untuk merombak imej Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan menekankan peranan pentingnya sebagai jalan keluar daripada kemiskinan.

Ketua Pegawai Jenama Kumpulan Universiti Limkokwing Datuk Tiffanee Marie Lim berkata pendidikan secara umumnya adalah satu-satunya penyelesaian yang mampan untuk memecahkan kitaran kemiskinan dan ketidaksamaan.

"TVET adalah asas bagi menyediakan belia untuk pasaran pekerjaan, tetapi kami masih menghadapi cabaran mengatasi persepsi lapuk," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Sidang Kemuncak Tadbir Urus Pelajar Komanwel (CSGS) 2024 yang diadakan di Cyberjaya baru-baru ini.

Beliau juga menekankan jurang kekayaan yang ketara dalam 56 negara Komanwel, menggesa organisasi itu untuk mengambil peranan lebih proaktif bagi menangani ketidaksamaan yang semakin meningkat ini.

“Dalam 56 negara Komanwel, kita melihat julat yang luar biasa - daripada yang terkaya dalam kalangan yang kaya ke negara yang masih di peringkat awal, bergelut untuk memantapkan diri.

“Mendiang ayah saya pernah berkata, ‘Tiada kekayaan bersama dalam Komanwel,’ dan itu masih benar. Jurang kekayaan dalam kumpulan negara ini amat besar, dan negara-negara Komanwel harus lebih agresif dalam menanganinya,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah Pembinaan YTL dan Pengerusi Women in Rail Malaysia Natasha Zulkifli menyeru agar lebih banyak usaha dijalankan untuk menyokong TVET di Malaysia sambil menekankan bahawa negara ini tidak melakukan secukupnya untuk memanfaatkan potensi pendidikan vokasional.

Beliau menambah bahawa mewujudkan kurikulum TVET yang mantap memerlukan bukan sahaja dedikasi tetapi juga kerjasama dengan sektor perusahaan bagi menangani keperluan industri untuk 20 tahun akan datang.

“Rancangan Malaysia ke-12 kerajaan mempunyai strategi pembangunan jangka panjang, tetapi ia mesti menggabungkan keperluan vokasional untuk memastikan keberkesanannya,” katanya.

Sidang Kemuncak Tadbir Urus Pelajar Komanwel 2024 dihoskan oleh Universiti Limkokwing dari 15 hingga 17 Nov sempena Hari Pelajar Antarabangsa itu menghimpunkan pemimpin belia, pendidik dan penggubal dasar global.

Acara ini meletakkan Malaysia sebagai hab perbincangan mengenai peranan TVET dalam melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal dan sedia kerja untuk pasaran buruh yang berubah-ubah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan