BELANJAWAN 2025 > BERITA

Al-Sultan Abdullah Berkenan Tinjau Persiapan Banjir Di Pahang

19/11/2024 09:08 PM

KUANTAN, 19 Nov (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melihat sendiri kesiapsiagaan jabatan terlibat untuk menghadapi bencana banjir. 

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan baginda berkenan berangkat ke depoh penyimpanan bekalan keperluan asas untuk mangsa banjir yang terletak di Kampung Tiram di sini. 

“Baginda turut berangkat ke Kampung Chendering di sini, bagi memantau paras air dan kawasan-kawasan berisiko,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menerima menghadap dan mendengar persembahan taklimat persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di Istana Abdulaziz di sini. 

Persembahan taklimat itu merupakan anjuran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. 

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan musim tengkujuh di Malaysia bermula 5 Nov dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Dalam tempoh berkenaan, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan