BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hanya Tiga Pintu Masuk Rasmi Di Sempadan Kelantan-Thailand - Saifuddin Nasution

19/11/2024 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pintu masuk rasmi di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan hanya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin Nasution berkata selain tiga ICQS itu yang lain dianggap ‘laluan tikus’ dan menggunakan laluan berkenaan untuk keluar atau masuk ke nagara ini adalah menyalahi undang-undang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali ke-12 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Saifuddin Nasution mengulas laporan media mengenai pelajar dari Thailand yang merentasi Sungai Golok setiap hari untuk bersekolah di Malaysia.

Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan polis akan menahan mana-mana rakyat Malaysia yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Dis ini bagi membendung aktiviti penyeludupan dadah, senjata api dan bahan mentah.

Hari ini dilaporkan ramai rakyat Thailand dan Malaysia di Sungai Golok bimbang larangan pihak berkuasa Malaysia itu akan memberi kesan terhadap persekolahan anak mereka yang bersekolah di Rantau Panjang.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution mengesahkan setakat ini belum menerima sebarang permohonan ekstradisi dari Bangladesh yang sebelum ini meminta Malaysia menahan pengasas Bestinet Aminul Islam Abdul Nor dan rakannya Ruhul Amin.

Saifuddin Nasution sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan Malaysia mahukan supaya Dhaka memberikan penjelasan lanjut berhubung permohonan itu dan telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain serta Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) berkenaan perkara itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan