BELANJAWAN 2025 > BERITA

Aniq Berlatih Di Aceh, Persiapan Hadapi Kejohanan Dunia IWF

20/11/2024 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Jaguh angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan akan berkelana di Aceh, Indonesia selama dua minggu bermula Jumaat ini sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) di Bahrain, Disember depan.

Aniq berkata fokus beliau pada kem latihan itu adalah mengekalkan angkatan keseluruhan yang dilakukannya sebelum ini, selain cuba mengangkat bebanan yang lebih tinggi seberat 300 kilogram (kg).

“Ketika ini saya rasa tiada yang perlu diasah sangat berkaitan teknik, cuma perlu mengekalkan angkatan dan naikkan lagi jumlah bebanan.

“Jadi kem latihan di Aceh ini saya akan guna semaksimum mungkin untuk capai sasaran saya iaitu 300kg,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lawannya pada kejohanan berkenaan, beliau menjangkakan bertemu seteru yang sama seperti ketika beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Beliau turut berharap mampu melakukan angkatan yang sempurna sekali gus memecahkan rekod kebangsaan miliknya (298kg) yang dilakukan pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024 di Suva, Fiji pada September lepas.

“Sasaran utama saya adalah melakukan angkatan yang sempurna dan kalau boleh nak pecah rekod kebangsaan. Kalau dapat penamat podium itu adalah rezeki,” ujarnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan