BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Guna Pentas Antarabangsa Desak Dunia Iktiraf Palestin, Singkir Israel Dari PBB

21/11/2024 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Malaysia menggunakan sebaik-baiknya pentas antarabangsa untuk mendesak dunia mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menyuarakan pendirian tegas kerajaan Malaysia itu antaranya pada sidang Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Peru, Sidang Kemuncak G20 di Brazil dan Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini. 

“Pendirian kita tentu keras, saya usulkan sedikit lebih, meminta negara-negara dunia pertimbangkan menyingkir Israel sebagai anggota PBB…di situ kita bawa isu Gaza dan di hadapan Presiden (Joe) Biden, Presiden (China) Xi Jinping (dan pemimpin-pemimpin) lain. 

“Pada Sidang (Kemuncak) G20 di Brazil juga...kita bantah kedudukan PBB sekarang dan menuntut tata kelola dunia, (untuk) pembaharuan PBB dan kuasa veto tidak hanya kepada negara sedia ada dan dikembangkan kepada kuasa seperti wakil Amerika Latin dan Afrika Selatan.

“Mengapa boleh kita terima PBB tetapi kita boleh izinkan negara yang melanggar semua ketetapan PBB seperti Majlis Keselamatan dan PBB kita biarkan, maka sepatutnya negara-negara seperti yang melanggar (undang-undang antarabangsa) terutama Israel patut disingkir,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai isu utama yang dibangkitkan pada sidang APEC, G20 dan Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam. 

Pada pentas antarabangsa itu, Anwar berkata beliau turut mempersoal PBB sebagai badan yang mengiktiraf negara merdeka dan anti penjajahan, tetapi pada masa sama mengiktiraf satu negara yang sedang menjajah iaitu Israel.

Justeru, Anwar menzahirkan kekesalan dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa negara ini mengiktiraf Israel sedangkan Malaysia merupakan antara negara paling lantang menyuarakan isu genosid di Gaza. 

“Temu bual dengan (CNN) Richard Quest, saya faham (ia) dipermainkan, soalan dia saya tegaskan kalau dalam konteks PBB, anggota PBB itu dianggap hak kenegaraan, itu dikatakan de facto, tetapi kita tak iktiraf dari awal, dari zaman Tunku Abdul Rahman kita tak iktiraf Israel sampai sekarang.

“Kalau dengar dalam konteks (sebenarnya), saya serang Israel habis-habisan. Tidak tahu apa lagi cara saya boleh buat, di Riyadh, Lima, Rio de Janeiro...suara Malaysia itu paling keras. Jadi sebab itu saya tidak faham mengapa perkara ini perlu dipolitikkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata semasa kerajaan terdahulu, kapal perdagangan Israel dibenarkan masuk ke pelabuhan negara hingga 2022 namun tiada siapa mempersoalkan dan menghukum.

Menurut Anwar, sebagai pemimpin yang berhadapan dengan pemimpin barat beliau terpaksa bertindak secara profesional bagi meneruskan urusan diplomatik, perdagangan dan pelaburan negara.

“Kalau kita ikuti perkembangan derita (rakyat Palestin) itu keterlaluan...bila saya tengok pemimpin barat yang terlibat, menyampah itu hanya tuhan mengetahui tetapi urusan diplomatik, perdagangan, pelaburan itu kita teruskan.

“Tetapi kenyataan saya berhadapan dengan mereka, bukan di Cherok Tok Kun (Pulau Pinang), saya tahu risikonya ada, kerana kenyataan (saya) antara paling keras...rakan-rakan yang ikuti sidang di Riyadh (dengar) saya tegaskan walaupun (Konvensyen) Genosid diterima umum, tetapi (saya) minta singkir Israel daripada PBB, menyerang panggil Israel biadab, istilah saya gunakan dalam ucapan di Riyadh, itu barbarism of Israel must be stop (kebiadaban Israel mesti dihentikan).

“Kalau nak ambil cebis-cebisan (temu bual) itu, terkeluar dari konteks, kurang tepat…kalau satu perkataan itu tak mengapa, tetapi tidak benar untuk dikaitkan dan menghina kita dalam keadaan kita berperang isu ini kerana ini bukan isu politik biasa, ini lahir daripada keyakinan kita dan perjuangan selama berpuluh tahun,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan