BELANJAWAN 2025 > BERITA

To Lam Diberi Sambutan Rasmi Di Dataran Perdana

21/11/2024 02:40 PM

PUTRAJAYA, 21 Nov  (Bernama) -- Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam, yang sedang dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, di sini hari ini.

Terdahulu Lam yang tiba di Malaysia pagi tadi, disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada pukul 11.50 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Lam kemudian memeriksa barisan kehormat utama yang terdiri daripada dua pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Mohamad Fikri Senan.

Turut hadir, ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri Kabinet, diplomat asing, dan pegawai kanan kerajaan.

Lam dan Anwar kemudian mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara dua hala antara Malaysia dan Vietnam, yang bertujuan untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berlangsung, terutamanya dalam sektor utama seperti perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, teknologi digital, serta maklumat dan komunikasi.

Menurut Wisma Putra, Anwar turut menganjurkan majlis makan tengah hari bagi menghormati Lam dan delegasinya di Kompleks Seri Perdana, hari ini.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman bagi Meningkatkan Promosi Perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE); serta Memorandum Kerjasama antara PETRONAS dan PETROVIETNAM dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

Dalam lawatan ini, Lam turut dijadualkan bertemu dengan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul, di bagunan Parlimen.

Pada tahun 2023, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan ke-4 terbesar dalam kalangan negara ASEAN.

Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam mencecah RM80 bilion, dengan eksport Malaysia ke Vietnam bernilai RM52 bilion. Syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih daripada 700 projek di Vietnam dengan jumlah pelaburan sebanyak US$13.1 bilion. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan