BELANJAWAN 2025 > BERITA

Selangor Rekod Nilai Dagangan RM639.2 Bilion Setakat September - Exco

21/11/2024 03:01 PM

SHAH ALAM, 21 Nov (Bernama) -- Selangor merekodkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM639.2 bilion atau 29.9 peratus kepada jumlah perdagangan negara bagi tempoh Januari hingga September lepas.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 13.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Katanya bagi sumbangan kepada jumlah eksport negara pula, Selangor merekodkan sebanyak RM264 bilion dan menyumbang sebanyak 23.7 peratus selain turut menyumbang sebanyak RM 375.2 bilion atau 36.6 peratus kepada jumlah import negara. 

“Antara produk utama perdagangan negeri Selangor ialah jentera dan kelengkapan peralatan berjumlah RM273.35 bilion, barangan perkilangan RM101.99 bilion, bahan kimia RM78.65 bilion, pelbagai artikel perkilangan berjumlah RM65.35 bilion dan makanan RM46.37 bilion. 

“Rakan dagangan utama Selangor seperti China (menyumbang) 23.9 peratus, Amerika Syarikat (12.1 peratus), Jepun (6.5 peratus), Indonesia (4.4 peratus) dan India (4.1 peratus),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini. 

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang ingin tahu prestasi perdagangan Selangor bagi tahun 2024. 

Ng berkata prestasi perdagangan Selangor turut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan impak positif selepas penglibatan Malaysia dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada 2022. 

“Sebagai contoh, purata nilai dagangan yang dicatatkan bagi tempoh tiga tahun sebelum penglibatan Malaysia dalam RCEP dan CPTPP adalah sebanyak RM615.44 bilion. Selepas 2022, nilai purata dagangan yang direkodkan adalah sebanyak RM738.47 bilion,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan