ISKANDAR PUTERI, 21 Nov (Bernama) -- Pengendali Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) Wan Mustaffa Wan Ismail berharap agar kebajikan pemain seperti pembayaran gaji dan latihan, menjadi keutamaan berbanding segala hal yang berlaku dalam sesebuah kelab.
Wan Mustaffa berkata perkara itu boleh dicontohi daripada kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), yang sentiasa mengutamakan pemain-pemain mereka.
“Harapan saya (jika) ada pengurusan atau penajaan baharu, saya rasa seeloknya dan paling penting ialah kita kena mencontohi JDT yang sentiasa mengutamakan pemain.
“Bukan sekadar (pengurusan) ambil alih dan ambil jawatan, tetapi perkara utama kita hendak mereka ini bertanggungjawab dan pemain diberi keutamaan dari segi latihan, gaji setimpal dan tepat pada masanya.
“Sebab, pemain ini satu pasaran untuk semua pegawai yang ada di atas, tiada pemain tiadalah kita semua, jurulatih dan kelab tiada. Jadi apa sahaja yang berlaku saya harap utamakan pemain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia 2024/25 antara KL Rovers dan JDT, di sini malam tadi.
Wan Mustaffa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa terdapat pihak yang menawarkan diri untuk membeli kelab berkenaan.
Semalam, media melaporkan kelab KL Rovers bakal dijual pada harga RM3.5 juta dengan sebuah syarikat tempatan dan luar negara, yang difahamkan telah menyatakan minat untuk membeli kelab berkenaan.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada isu kewangan menjadi faktor aksi pusingan 16 terakhir yang seharusnya berlangsung di tempat sendiri diadakan di gelanggang lawan, Wan Mustaffa berkata terdapat faktor lain yang mempengaruhi keputusan berkenaan, dan kelab menzahirkan penghargaan di atas kerjasama diberikan JDT.
Venue bagi aksi pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia 2024/25 antara JDT dan KL Rovers semalam, sepatutnya berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras namun ditukar ke Stadium Sultan Ibrahim.
Pada perlawanan itu, JDT menewaskan KL Rovers 3-0 dan aksi timbal balik dijadual di Stadium Sultan Ibrahim pada 30 Nov.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial